• Pindaan Akta Bantuan Guaman dibentang

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Mangsa jenayah seksual kanak-kanak atau kanak-kanak yang menjalani prosiding mahkamah layak mendapat khidmat pendamping guaman.

    Ia terkandung dalam Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) atau RUU26 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat diluluskan.

    Bidang tugas khidmat pendamping guaman iaitu untuk menasihati penjaga atau pelindung orang yang dibantu yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

    Rang undang-undang bagi meminda Akta Bantuan Guaman 1971 atau Akta 26 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bacaan kali pertama, hari ini.

    Bacaan kali kedua rang undang-undang yang mengandungi 12 fasal itu dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini.

    Pindaan itu antara lain bertujuan memasukkan bahagian baharu VB dalam Akta 26 yang memperkatakan khidmat pendamping guaman dalam fasal sembilan

    Mengikut fasal 9, Seksyen 29H yang dicadangkan bertujuan memperuntukkan kanak-kanak dan yang menjadi mangsa kesalahan seksual dan masih kanak-kanak pada masa prosiding dimulakan di mahkamah boleh memohon mendapatkan khidmat pendamping guaman dan diberikan perakuan bantuan guaman bahawa pemohon berhak mendapatkan khidmat pendamping guaman.

    Seksyen 29I, yang dicadangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi maksud khidmat pendamping guaman yang antara lain menasihati penjaga atau pelindung orang yang dibantu yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

    Khidmat pendamping guaman juga dicadangkan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap mana-mana orang tertuduh dalam mana-mana prosiding jenayah, selain mendampingi orang yang dibantu dalam mana-mana prosiding di mahkamah dan dengan kebenaran mahkamah untuk bercakap bagi pihak orang yang dibantu.

    Fasal 10 bertujuan meminda subseksyen 32(2) Akta 26 untuk memberi menteri kuasa membuat peraturan mengawal selia amalan dan tatacara khidmat pendamping guaman. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pindaan Akta Bantuan Guaman dibentang "