• 'Perlumbaan Mesti Dimenangi' - Hamilton

    Published: Friday, 14 July 2017
    A- A+

    SILVERSTONE, United Kingdom: Lewis Hamilton tiba di perlumbaan dekat kampung halamannya semalam dengan berdepan pelbagai soalan mengenai ketidakhadiran pada majlis F1 (Formula Satu) Live dekat London Rabu lalu dan persiapan peribadinya untuk Grand Prix (GP) British.

    Ketiadaannya pada majlis promosi dekat ibu negara itu menjadi persoalan utama ketika dia dan pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel bertemu semula di Silverstone dalam perlumbaan ke-10 tahun ini.

    "Saya cuba bersedia bagi memberikan yang terbaik dengan sangat tenang sejak beberapa hari lalu," kata Hamilton, yang tercicir 20 mata berbanding juara dunia empat kali itu pada perlumbaan hujung minggu lalu di GP Austria ketika dia bermula di petak kelapan kerana penalti mengubah kotak gear pada jentera Mercedes.

    "Seperti biasa saya sangat teruja bagi menghadapi perlumbaan hujung minggu ini. Kejuaraan adalah perkara paling penting pada hujung minggu yang tegang, seperti setiap tahun. Ia perlumbaan 'mesti dimenangi' buat pemandu British jadi saya cuba bersedia dengan cara terbaik."

    Hamilton, yang mencari kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri dan lima secara keseluruhan, berkata dia menghabiskan dua hari bercuti di Greece untuk mengelak tekanan dalam F1 antara dua perlumbaan.

    Mengenai ketidakhadirannya pada acara F1 Live di London, dia berkata: "Sebenarnya saya tidak melihat telefon sejak beberapa hari," katanya.

    "Saya cuba mematikannya, saya membukanya beberapa kali untuk menerima mesej, tetapi untuk waktu yang lain saya akan menjauhinya." - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Perlumbaan Mesti Dimenangi' - Hamilton "