• Perasaan Ganjil Rupanya Petanda Buruk

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+

    MARANG: Seorang ibu tiga anak tidak menyangka perasaan ganjil dialaminya merupakan petanda buruk buat mereka sekeluarga apabila rumah didiami di Kampung Rhu Muda, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Najwa Izzati Sidek, 27, berkata, dia dan suaminya, Ahmad Hussien Omar, 31, terpaksa menanggung kerugian besar akibat kejadian kira-kira jam tiga pagi itu.

    Menurutnya, sejak semalam perasaannya tidak tenteram dan ingin pulang melihat keadaan rumahnya.

    "Biasanya selepas anak balik sekolah di Paya Resak, kami akan pulang ke Rhu Muda. Saya ajak suami balik selepas anak balik sekolah tapi suami kata nanti dulu. Petang tu saya ajak lagi suami balik tapi tak jadi juga nak balik ke Rhu Muda.

    "Rupa-rupanya perasaan itu petanda rumah akan musnah dan saya hanya tahu rumah itu terbakar kira-kira jam tiga pagi tadi," katanya kepada permberita ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Selain rumah didiami mangsa sekeluarga sejak sembilan tahun lalu, sebuah rumah kedai berhampiran turut musnah dalam kejadian itu.

    Kebanyakan barang berharga di rumah dan rumah kedai berkenaan tidak dapat diselamatkan termasuk sebuah motosikal, peralatan elektrik, peralatan memasak, almari dan dokumen penting.

    Najwa Izzati yang mempunyai anak masih kecil termasuk bayi berusia setahun berkata, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga tiada di rumah berkenaan ketika kejadian.

    Rumah kedai terletak berdekatan rumah mangsa juga tiada penghuni dan pemiliknya gagal dikesan.

    Sementara itu, Ahmad Hussien yang bekerja sebagai buruh berkata, sebaik mengetahui rumahnya terbakar, mereka sekeluarga bergegas pulang dari rumah ibu mentuanya di Paya Resak.

    “Banyak barang malah boleh dikatakan hampir semua barang dalam rumah ini musnah, kami hanya dapat selamatkan sofa dan televisyen, yang lain semuanya,” katanya.

    Tiga jentera dengan kekuatan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang dan Wakaf Tapai terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran yang diketuai Komander Operasi, PB Mohd Husni Faizal Omar.

    Api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira jam 3.30 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Perasaan Ganjil Rupanya Petanda Buruk "