• Perancangan Rapi Bantu Pastikan Keselamatan Awam

    Published: Friday, 14 July 2017
    A- A+

    KUCHING - Perancangan rapi yang dibuat membantu bagi memastikan sesuatu perkara dapat berjalan dengan lancar terutama dalam soal menjaga keselamatan awam.

    Menurut bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Aziz Yusof, perkara tersebut membantunya sepanjang bertugas di negeri ini di bawah kepimpinan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor.

    "Antara tugas yang mencabar adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mana kita perlu melihat semua kawasan di sini agar segala persiapan telah dibuat.

    "Alhamdulillah atas kerjasama semua pihak perjalanan PRN di sini lancar tanpa ada sebarang insiden-insiden tidak diingini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak yang disaksikan Mazlan di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri yang baharu, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim menerima tugas daripada Abdul Aziz yang akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Kepolisan Am) KDN/KA, Bukit Aman.

    Sementara itu, Mazlan mengucapkan terima kasih kepada Abdul Aziz yang banyak membantunya sepanjang bertugas hampir dua tahun di negeri ini bermula 1 Disember 2015.

    "Walaupun singkat, beliau banyak memberi sumbangan kepada polis sepanjang bertugas di sini. Beliau seorang yang berdedikasi dan cemerlang memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

    "Kepada penggantinya, Mohd. Dzuraidi dialu-alukan ke sini dan Insya-Allah akan melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

    Mohd. Dzuraidi pula berkata, beliau akan membantu dan menyokong semua dasar yang diatur Pesuruhjaya Polis Negeri bagi memastikan negeri ini terus aman terutama aspek keselamatan. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Perancangan Rapi Bantu Pastikan Keselamatan Awam "