• Penyeludup manusia dipenjara 30 bulan

    Published: Monday, 17 July 2017
    A- A+
    PEKERJA pendawaian elektrik dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, hari ini, atas kesalahan menyeludup dua warga Myanmar dari Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Disember tahun lalu.

    Hakim Datuk Hashim Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Rohaizam Ramli, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Beliau kemudian menetapkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditahan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran ke atas seorang lelaki dan wanita warga Myanmar di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS arah utara, Bukit Kayu Hitam jam 8.45 pagi, 7 Disember tahun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Imigresen Malaysia Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.- HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Penyeludup manusia dipenjara 30 bulan "