• Penyampai TV Wanita Dihempap Pokok

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    MUMBAI – Seorang penyampai televisyen wanita terkenal di India meninggal dunia dalam keadaan tragik selepas dihempap sebatang pokok palma yang tua di sebatang jalan di sini minggu lalu.

    Menurut laporan media tempatan, Kanchan Nath secara kebetulan sedang melakukan perjalanan pulang dari sebuah kelas yoga di Chembur di bandar ini pada jam 8 pagi Khamis lalu semasa insiden pelik itu berlaku.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup dari sebuah premis berhampiran, mangsa dilihat memakai baju berwarna biru dan sebelum itu sedang berjalan di tengah jalan raya, di hadapan deretan kedai runcit dan gerai makanan.

    Tanpa diduga, sebatang pokok kelapa setinggi hampir lapan meter terletak di bahu jalan berkenaan secara tiba-tiba tumbang tanpa amaran dan betul-betul menghempap tepat ke atas diri mangsa yang berusia 58 tahun itu.

    Mendiang Nath mengalami kecederaan dalaman teruk dan keretakan tulang akibat berat pokok itu. Orang ramai bergegas untuk segera menghulurkan bantuan dengan mengalihkan pokok tersebut sebelum dikejarkan ke hospital.

    Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pagi Khamis akibat kecederaan di bahagian kepala. Seorang penduduk iaitu Arjun Singh, yang segera membantu sejurus selepas terdengar bunyi tersebut menceritakan detik tragik itu.

    “Ramai orang memekik dan meminta tolong sebelum saya ternampak wanita itu di lantai jalan raya. Pada ketika itu, saya tidak tahu wanita itu ialah Kanchan sehingga selepas seseorang memaklumkan kepada saya.

    “Saya terkejut ia boleh berlaku, ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja yang berada di tempat tersebut pada masa itu. Sahabat saya ialah penyampai terkenal bagi dunia muzik kami, sudah meninggal dunia. Kami akan rindukan anda.”

    Suami Nath iaitu Rajat memberitahu media bahawa dia menyalahkan Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC), sebuah pihak berkuasa awam tempatan yang mengurus kota Mumbai; atas kemalangan ngeri tersebut.

    Beliau berkata para pegawai BMC sudah lama dimaklumkan bahawa pokok tua tersebut sebenarnya boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja, tetapi mereka pula didakwa enggan memberikan kebenaran untuk menebangnya.

    Bagaimanapun, media setempat melaporkan bahawa kebenaran penebangan tidak dapat diberikan kerana pegawai landskap mendapati pokok palma berkenaan masih lagi dalam keadaan baik. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


    Subjects:

  • No Comment to " Penyampai TV Wanita Dihempap Pokok "