• Peninju MMA Tewas Ditangan 'Pak Guard'

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    Insiden pergaduhan membabitkan seorang lelaki berbadan sasa dengan tiga pengawal keselamatan dipercayai warga asing yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di USJ1, Petaling Jaya menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

    Beberapa rakaman video pergelutan antara lelaki itu, yang didakwa seorang petinju seni mempertahankan diri campuran (MMA) dengan kumpulan pengawal keselamatan terbabit dimuat naik di laman Facebook Discover Subang Jaya, pada Isnin.

    Berdasarkan status yang dikemaskini di laman Facebook itu, insiden pergelutan antara mereka dikatakan berlaku selepas lelaki berbaju hitam itu cuba memasuki kediaman berkenaan, namun tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan terbabit.

    Akibatnya, berlaku pertengkaran antara petinju MMA itu dengan seorang pengawal keselamatan sebelum lelaki itu bertindak menendangnya.

    “Lelaki ini datang ke kondominium untuk berjumpa kawannya kerana mahu mengutip hutang. Tetapi kawannya tidak mahu turun dan berjumpa dengannya.

    “Dia minta pengawal keselamatan biarkan dia naik (kediaman kawannya). Pengawal keselamatan enggan membenarkan dia masuk. Dia kecewa dan bertekak dengan pengawal keselamatan yang berbadan kecil.

    “Dia kemudiannya menanggalkan ‘sweater’ dan bersungguh mahu bergaduh dengan pengawal keselamatan itu. Dia melepaskan tumbukan dulu sebelum video lain dirakam,” demikian menurut status tersebut.

    Menerusi rakaman pertama berdurasi 30 saat, lelaki berbadan tegak itu dilihat sudah ‘membuka langkah’ untuk bertinju dengan pengawal keselamatan terbabit.

    Kelihatan seorang lelaki berbaju hitam cuba menghalang pergaduhan itu, namun petinju itu secara tiba-tiba menendang pengawal keselamatan terbabit.

    Pergelutan antara mereka berterusan selepas kedua-duanya terjatuh sebelum dua pengawal keselamatan lain masuk campur bagi membantu rakannya dan membelasah petinju itu menggunakan cota.

    Petinju itu diasak oleh tiga pengawal keselamatan menyebabkan dia tersungkur dan ‘tewas’.

    Dalam rakaman kedua yang berdurasi lebih seminit pula, petinju itu kelihatan tidak mampu melawan dan ketiga-tiga pengawal keselamatan terbabit bertindak mengikat tangannya.

    Gambar yang diambil juga menunjukkan petinju itu duduk di lantai dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat, sementara beberapa orang awam dan pengawal keselamatan yang terbabit berada di sekitar tempat kejadian.

    Kapsyen pada gambar tersebut menyatakan bahawa lelaki itu mendakwa sudah lapan tahun sebagai petinju MMA, selain akan kembali ‘membalas dendam’ terhadap pengawal keselamatan terbabit.

    “Dia berkata akan kembali dan ‘menghancurkan’ semua pengawal keselamatan terbabit dan menyuruh mereka mengucapkan selamat tinggal terlebih dahulu kepada keluarga mereka,” demikian catatan pada entri di laman Facebook tiu.

    Sementara itu, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Darriush Kha Lili tampil mengaku bahawa lelaki di dalam rakaman tersebut adalah dirinya.

    Darriush menulis di ruangan komen dengan berkata bahawa dia tidak berniat untuk mencederakan sesiapa dan tindakan menendang hanya mahu menjauhkan pengawal keselamatan itu.

    “Saya tidak berniat mencederakan sesiapa, saya boleh melawan kembali dengan mudah, saya hanya melepaskan beberapa tendangan supaya dia menjauhkan diri, (tetapi) dia terus menerkam saya.

    “Saya langsung tidak melawan semula, saya bukan bodoh, saya tidak mahu sebarang masalah dengan pihak polis... bagi saya, itu hanya lelaki lucu, (tetapi) saya mengaku itu adalah kesilapan saya. Saya menamparnya, kemudian saya meminta maaf dan mereka juga berbuat demikian. Ia hanyalah salah faham...,” demikian menurut Darriush.

    Bagaimanapun, rata-rata netizen mengutuk keras tindakan petinju itu dengan mengatakan bahawa pengawal keselamatan terbabit hanyalah menjalankan tugas mereka.

    Keberanian pengawal-pengawal keselamatan terbabit turut dipuji netizen.

    Hąŕřįş K W Lim: “Pengawal keselamatan warga Nepal hanya melakukan tugas mereka. Tiada apa yang salah mengenai warga asing. Jangan cuba berlagak untuk tunjuk kuat.”

    Lynny Kzaman: “Sebagai seorang yang terlatih, anda sepatutnya lebih bijak dan hormat orang lain. Tidak perlu tunjukkan kepada mereka siapa anda hanya kerana anda kelihatan seperti trak tangki. Jangan memandang rendah pada orang lain, (dan) anda juga seorang warga asing di sini.”

    Samantha Heung: “Seni pertahankan diri sepatutnya melindungi diri sendiri. Bukan digunakan untuk melawan orang lain dalam situasi yang bodoh seperti ini.”-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Peninju MMA Tewas Ditangan 'Pak Guard' "