• Pendidikan Untuk Rakyat Komitmen Berterusan Kerajaan BN - PM

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendidikan dan peranannya dalam mengubah taraf hidup masyarakat amat dipentingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan akan terus diperjuangkan demi kepentingan seluruh rakyat.

    Menyifatkan rakyat negara ini bertuah, Perdana Menteri berkata pelbagai dasar yang telah kerajaan laksanakan membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang menambah baik taraf kehidupan keluarga mereka dalam masa hanya satu generasi.

    "Misalnya, melalui usaha gigih, pendidikan, bantuan serta platform yang telah kerajaan sediakan, seorang anak nelayan mampu berjaya hari ini sebagai seorang doktor, jurutera dan bermacam lagi pekerjaan yang berupaya mengubah taraf kehidupan seluruh keluarganya ke tahap yang lebih baik.

    "Inilah mobiliti sosial yang kerajaan BN bawa kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sejak sekian lama dan akan terus kita sediakan dan perjuangkan demi kebaikan semua," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com hari ini.

    Perdana menteri dalam catatannya turut menarik perhatian dan berkongsi rasa bangga dengan kejayaan beberapa universiti tempatan yang menempa kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.

    Lima universiti penyelidikan (RU) tempatan sebelum ini, melakar sejarah apabila tersenarai dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia berdasarkan senarai dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2017-2018.

    Universiti berkenaan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

    "Ranking Universiti Malaya meningkat 19 anak tangga ke kedudukan 114, bermakna tidak jauh lagi untuk mencapai sasaran menembusi tahap 100 terbaik dunia, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia naik 72 anak tangga, peningkatan terbaik bagi tahun ini.

    "Begitu juga Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, kesemuanya meningkat dalam ranking masing-masing," katanya.

    Sementara, lima universiti iaitu UPM, UTM, USM, UKM dan Universiti Teknologi Petronas turut tersenarai dalam kalangan 200 terbaik pada Kedudukan Universiti Asia Pasifik Times Higher Education 2017.

    Katanya dalam senarai Universitas 21 (U21) pula, sistem pendidikan tinggi Malaysia berada pada kedudukan ke-25 terbaik dunia, yang menyaksikan dalam tempoh enam tahun Malaysia telah meningkat 11 anak tangga.

    "Alhamdulillah, ini sebahagian daripada banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh universiti-universiti kita. Pencapaian yang bukan sahaja membanggakan tetapi juga membuktikan bahawa sistem pendidikan negara berada pada tahap yang baik.



    "Meskipun begitu, saya yakin kita mampu mencapai lebih lagi, dan dengan usaha berterusan semua pihak yang berkaitan, bidang pendidikan negara akan terus berkembang dari masa ke masa ke tahap lebih maju, InsyaAllah," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pendidikan Untuk Rakyat Komitmen Berterusan Kerajaan BN - PM "