• Pendarahan Organ Penting Penyu Disebabkan Keracunan

    Published: Wednesday, 5 July 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Pendarahan teruk yang dijumpai dalam organ-organ penting seekor penyu yang dijumpai mati di pantai Lok Kelia di Kota Belud semalam, kemungkinan besar disebabkan oleh keracunan.

    Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah , Augustine Tuuga berkata toksin itu mungkin berpunca daripada “Red Tide” (fenomena alam apabila air laut berubah warna) akibat toksin yang dibuang ke dalam laut atau dan air yang tercemar.

    “Kita akan menghantar sampelnya ke makmal toksikologi untuk dianalisis dan menganalisis tisu pada tahap selular,”kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata penyu hijau (Chelonia mydas) betina yang dijumpai terdampar di Kota Belud pada 8 pagi semalam berukuran 94 sentimeter panjang , 82 sentimeter lebar dan berumur dalam lingkungan 30 tahun.

    Mengenai seekor lagi penyu yang dijumpai mati di Taman Awam 1, Teluk Likas, pagi tadi, Augustine berkata ia adalah spesies yang sama seperti dijumpai di Kota Belud.

    ​​​​Beliau berkata penyu itu sepanjang 60 sentimeter dan 54 sentimeter lebar dan dianggarkan berusia dalam 20 tahun.

    “Hati dan ususnya didapati dipenuhi gumpalan pendarahan. Hatinya juga mengembung yang juga menandakan toksin atau penyakit disebabkan virus. Sampelnya telah diambil untuk analisis lanjut,” kata beliau.

    Beliau berkata cangkuk pancing juga tersangkut pada lehernya walaupun ia mungkin bukan punca kematiannya.–BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pendarahan Organ Penting Penyu Disebabkan Keracunan "