• Pemimpin Baru Dibimbing Ikut Tradisi PBB

    Published: Monday, 17 July 2017
    A- A+

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberi jaminan untuk membimbing pemimpin-pemimpin baru mengikut tradisi Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi mengambil alih tampuk kepimpinan parti pada masa depan.

    Beliau berkata tradisi itu dilaksanakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud semasa beliau menjadi Ketua Menteri.

    "Pepatah Melayu menyebut patah tumbuh hilang berganti. Suatu hari nanti orang lain akan menggantikan kita dan kita tetap dengan budaya dalam PBB yang selalunya mementingkan kehendak rakyat," katanya

    Abang Johari berkata beliau akan meneruskan dasar mantan ketua menteri Adenan Satem yang membawa kemenangan besar kepada PBB dan Barisan Nasional (BN), memenangi 72 daripada 82 kerusi semasa pilihan raya negeri ke-11 tahun lepas.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa bangga kerana Perdana Menteri Najib Razak telah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri contoh di negara ini dari segi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

    "Apabila kita bersatu padu, para pemimpin boleh menumpukan perhatian kepada pembangunan kawasan yang mereka wakili," katanya. - Bernama
  • No Comment to " Pemimpin Baru Dibimbing Ikut Tradisi PBB "