• Peluang Malaysia Tebus Kecewa Emas Sukan SEA 2001

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi pentas terbaik untuk skuad bola sepak Malaysia meraih ibu segala pingat dalam temasya dwi tahunan itu.

    Namun status tuan rumah bukanlah satu kelebihan apabila Malaysia pernah tewas 0-1 kepada Thailand pada temasya 2001.

    Kekecewaan itu ditebus skuad negara apabila meraih pingat emas berturut-turut pada edisi Sukan SEA 2009 dan 2011. Hakikatnya, kejayaan pastinya lebih manis jika Malaysia meraih ibu segala pingat emas Sukan SEA itu di laman sendiri.

    Bagi bekas penyerang sensasi negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang diberi mandat mengemudi jentera serangan negara pada edisi 2001, kekecewaan itu masih menghantuinya setiap kali berlangsungnya temasya itu.

    “Perasaan kecewa itu datang setiap kali saya menyaksikan Malaysia bermain di Sukan SEA kerana semangat dan keyakinan untuk merangkul pingat emas pada ketika itu (2001) sangat tinggi terutama selepas mengharungi aksi kumpulan dengan cemerlang dan menundukkan Myanmar 1-0 di separuh akhir,” katanya.

    Impian pingat emas Sukan SEA 2017 bukanlah mustahil sekalipun ranking negara kini di kedudukan ke-167 dunia berbanding Filipina (126), Thailand (131) dan Vietnam (133).

    Namun penyerang kelahiran Kedah itu optimis skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu mengulangi kejayaan negara pada Sukan SEA 1989 yang merupakan kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas di laman sendiri selepas menundukkan Singapura 3-1.

    “Kualiti pemain negara dalam aksi Liga Malaysia amat baik. Mereka perlu percaya terhadap keupayaan diri, jangan terlalu gerun dengan pasukan lawan,” kata beliau yang meledak lima gol untuk pasukan negara sepanjang temasya Sukan SEA 2001 berlangsung.

    Legenda bola sepak negara Khalid Ali pula berkata Thailand selaku juara bertahan dan pemenang 15 kali pingat emas acara bola sepak Sukan SEA masih menjadi pilihan utama untuk acara itu.

    Beliau berkata Malaysia perlu membuat persiapan rapi, selain peranan penting penyokong sebagai pemain ke-12.

    Beliau memuji prestasi memberangsangkan skuad negara pada tiga aksi perlawanan persahabatan di China bulan lepas dan berharap ia dapat ditingkatkan menjelang KL2017.

    “Terdapat peningkatan yang ditonjolkan pemain baru-baru ini tetapi mereka tidak boleh cepat berpuas hati. Masih ada beberapa kelemahan terutama di bahagian pertahanan dan tengah yang perlu diperbaiki dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

    Sejak temasya sukan paling berprestij di Asia Tenggara itu mula dianjurkan pada 1959, Malaysia berjaya menjuarai acara bola sepak sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011 dengan dua daripada kejayaan itu berjaya dikecapi di Kuala Lumpur iaitu pada 1977 dan 1989. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Peluang Malaysia Tebus Kecewa Emas Sukan SEA 2001 "