• Pelihara 12 Burung Helang Tanpa Lesen

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merampas 12 burung helang yang dipelihara tanpa lesen di sebuah rumah di Bukit Jenun, Pendang, petang semalam.

    Pengarah PERHILITAN negeri, Muhammad Ali Che Aman berkata, serbuan di rumah itu dilakukan sepasukan lapan anggotanya pada jam 2 petang hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.

    Katanya, terdahulu pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pemilik berusia 41 tahun itu.

    "Kita terpaksa menunggu masa sesuai untuk memasuki kawasan kediaman itu berikutan ia milik persendirian dan berpagar.

    "Sebaik memasukinya kita menemui 12 burung helang yang tersenarai sebagai spesies terjadual mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716 yang dipelihara di tempat khas," katanya dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, antara spesies burung helang itu ialah Lang Sika atau nama saintifiknya, Accipiter trivirgatus, Lang Malam (Machearhamphus alcinus), Lang Hindek (Spizaetus cirrhatus) dan Collared Falconet (Microhietax caerulescens)

    "Soal siasat terhadap lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen pemilikan secara sah daripada Jabatan PERHILITAN untuk menyimpan burung helang berkenaan.

    "Burung helang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716 dan memerlukan permit khas dikeluarkan oleh menteri," katanya.

    Muhammad Ali berkata, mana-mana individu didapati bersalah mengikut Seksyen 68(2)(a)Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau keduanya.

    "Kita sudah merakam percakapan lelaki terbabit dan sedang melengkapkan kertas siasatan untuk mendakwanya di mahkamah selepas ini.

    "Selepas mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah semua burung helang itu dilepaskan ke habitat asal," katanya.

    Beliau turut menasihati orang ramai untuk mendapatkan permit mahupun lesen jika ingin memelihara spesies hidupan liar yang dilindungi mengikut akta itu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelihara 12 Burung Helang Tanpa Lesen "