• Pelbagaikan Produk, Perkhidmatan Dalam Industri Minyak Dan Gas - Zahid

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penggiat industri minyak dan gas perlu merebut peluang untuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan mereka serta meneroka segmen pasaran baharu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Menurutnya, walaupun industri itu mengalami kesukaran pada 2016, beliau yakin ia kini berada dalam landasan untuk pemulihan.

    "Walaupun menghadapi tempoh yang tidak menentu sejak beberapa tahun lepas, industri tersebut masih kekal berdaya tahan. Dalam satu laporan baru-baru ini, OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum) menggambarkan prospek optimis untuk pasaran minyak pada 2017, dengan berkata, permintaan global akan meningkat bagi melepasi pengeluaran semasa.

    "Dalam keadaan ini, terdapat banyak peluang untuk penggiat minyak dan gas meneroka," katanya pada Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-16 (OGA 2017), di sini hari ini.

    Beliau juga yakin, jika penggiat industri mampu melaksanakan strategi secara berkesan, mereka tidak-ragu lagi akan muncul lebih kuat dan lebih berdaya tahan apabila harga minyak pulih kelak.

    Ahmad Zahid menambah, terdapat pelbagai peluang yang boleh diteroka oleh penggiat minyak dan gas tempatan dan serantau, termasuk meneroka bidang baharu dalam aktiviti hiliran.

    "Wujud peralihan minda dalam kalangan penggiat minyak dan gas yang condong ke arah projek kitaran lebih pendek bagi mengurangkan risiko mereka.

    "Saya berpendapat banyak syarikat telah mengambil peluang untuk meningkatkan kemudahan, kemahiran serta kepakaran mereka dalam tempoh ini, bagi membaiki kedudukan syarikat mereka sebaik industri tersebut pulih semula," katanya.

    Ahmad Zahid juga memberiahu hadirin yang Malaysia adalah negara yang stabil dan dengan itu lebih ramai penggiat minyak dan gas menimbang untuk menubuhkan pangkalan mereka di negara ini.

    Menurutnya, Laporan Menjalankan Perniagaan 2017 oleh Bank Dunia telah meletakkan Malaysia di tempat ke-23 untuk kemudahan menjalankan perniagaan manakala di ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura dan mendahului negara lain seperti Thailand dan Indonesia.

    "Kita menawarkan tenaga kerja yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, teknologi canggih serta persekitaran yang menyokong perniagaan pada kos yang jauh lebih rendah berbanding negara jiran kita.

    "Ini akan membantu mencergaskan industri minyak dan gas tempatan serta ekonomi tempatan kita, " katanya.

    Ahmad Zahid berkata, dengan bergerak keluar daripada sumber bahan api tradisonal ke arah inisiatif ekonomi hijau, akan membantu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dan transformasi negara.

    Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah memulakan usaha untuk meremajakan perdagangan dua hala dengan Qatar, yang telah terjejas berikutan kejatuhan harga minyak.

    "Kita berharap untuk membuka lebih banyak peluang untuk syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam pembangunan Qatar, terutama ketika ia bersiap untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022," tambah beliau.

    OGA 2017 yang berlangsung mulai 11 hingga 13 Julai itu disertai 2,000 syarikat daripada lebih 60 negara dengan anggaran 23,000 pengunjung.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penasihat Petronas, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pelbagaikan Produk, Perkhidmatan Dalam Industri Minyak Dan Gas - Zahid "