• Pekerja Kontrak Ditahan Disyaki Perkosa Cucu Saudara

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    Lelaki ditahan di Sungai Petani, semalam selepas dipercayai memperkosa cucu saudara yang juga anak angkatnya berusia 14 tahun sehingga mengandung.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, suspek, 54, yang juga pekerja kontrak ditahan polis susulan laporan dibuat ibu mangsa selepas menerima maklumat mengenai keadaan anaknya itu yang mengandung enam bulan.

    Menurutnya, mangsa berada di bawah jagaan suspek sejak berusia sembilan tahun dan mendakwa dirogol lelaki itu,Disember lalu ketika mereka bersendirian di rumah keluarga angkatnya itu di Sungai Petani.

    "Ketika kejadian, mangsa mendakwa bekalan elektrik di rumah berkenaan terputus dan suspek mengambil kesempatan itu masuk ke bilik mangsa sebelum merogolnya.

    "Ibu mangsa, 35, yang menetap di Sitiawan, Perak mendakwa menerima maklumat mengenai keadaan anaknya itu selepas dimaklumkan anak saudaranya pada malam 15 Julai lalu, sebelum membuat laporan polis di sini, Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Saifi berkata, sebelum ini, mangsa tidak mahu menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana malu dan bimbang keluarga turut mendapat malu.

    "Bagaimanapun perkara itu tetap diketahui keluarga angkat mangsa, sehingga membawa kepada penahanan suspek semalam.

    "Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol dan suspek direman hari ini sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja Kontrak Ditahan Disyaki Perkosa Cucu Saudara "