• PDRM Nafi Adakan Iklan Temuduga Terbuka Di Media Sosial

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan akan mengadakan temuduga terbuka untuk mengisi jawatan kosong bagi keperluan pasukan itu seperti yang tular dalam laman Facebook dan aplikasi WhatsApp.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (ACP), Datin Asmawati Ahmad berkata, temuduga terbuka itu adalah tidak benar dan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman seperti yang didakwa.

    "Pengumuman rasmi mengenai pengambilan ke mana-mana jawatan PDRM hanya akan dibuat melalui portal rasmi PDRM www.rmp.gov.my dan Facebook rasmi, www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia," katanya dalam kenyataan di sini.

    Asmawati berkata, warganegara Malaysia yang berminat untuk memohon mengisi jawatan dalam PDRM boleh membuat permohonan di portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, www.spa.gov.my.

    "Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan akan dipanggil untuk proses pemilihan sekiranya eksesais pengambilan PDRM dijalankan," katanya.

    Maklumat palsu yang sama membabitkan pengambilan terbuka untuk jawatan di PDRM juga pernah beberapa kali tersebar di laman sosial sejak tahun 2015, menyebabkan Bukit Aman mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan perkara itu. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " PDRM Nafi Adakan Iklan Temuduga Terbuka Di Media Sosial "