• Patah Tumbuh Hilang Berganti, Yang Lama Akan Pergi, Yang Baru Jadi Pengganti

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+
    "Pemimpin lama akan pergi dan diganti dengan yang baru, bak kata pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'," kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Dato baru-baru ini.

    Memang benar seperti yang diperkatakan oleh Abang Jo. Setiap pemimpin yang lama pasti akan memberi laluan kepada pemimpin baru jika tiba masanya. Suara rakyat harus didengar juga.

    Jika rakyat berkehendakkan terus memimpin, maka teruskanlah selagi khidmat diperlukan tetapi jika suara rakyat inginkan seorang pemimpin yang baru, maka yang lama perlu berundur kerana rakyat mahukan perubahan.

    Dalam PBB, segala perancangan parti telah dirancang sejak sekian lama dan pencaturan pemimpin telah disusun atur dengan penuh teliti. Kepercayaan rakyat harus diutamakan. Bakal pemimpin harus mempunyai kreateria yang rakyat terima.

    Oleh yang demikian, pemimpin lama yang kurang berpotensi di mata rakyat haruslah berundur kerana rakyat tidak bersuara sembarangan kerana telah melalui zaman kepimpinan pemimpin tersebut.

    Selama ini ada pemimpin yang rela berundur tanpa terlalu banyak kerenah kerana lebih memikirkan rakyat dan terbuka hati untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru, tetapi malangnya masih ada pemimpin yang sudah lama memimpin dan rakyat tidak melihat prestasi pemimpin dalam situasi yang baik tidak pula mahu berundur. Malah memberi pelbagai alasan dan pra syarat bagi mengelak untuk berundur walhal rakyat kawasan sudah bersuara agar pemimpin tersebut berundur.

    Pemimpin sebegini perlu memikirkan kepentingan rakyat dan bukan pentingkan diri sendiri. Rakyat bersuara bermakna rakyat memberi mesej yang perlu didengari. Jangan kerana kepentingan peribadi pemimpin tersebut, rakyat mula beralih arah dan ketahuilah bahawa undi adalah di tangan rakyat. - Abdul Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Patah Tumbuh Hilang Berganti, Yang Lama Akan Pergi, Yang Baru Jadi Pengganti "