• Pasukan Pakatan Langgar Undang-Undang Kemanusiaan

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    NEW YORK: Serangan ke atas bot yang membawa pelarian di luar pesisir pantai Yaman Mac lalu, hampir pasti dilakukan pasukan tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi.

    Perkara itu dinyatakan laporan sulit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diperoleh AFP, semalam.

    Helikopter melepaskan tembakan ke arah kapal yang membawa lebih 140 penumpang, mengorbankan 42 nyawa dan mencederakan 34 yang lain dan disifatkan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    "Kapal awam itu hampir pasti diserang menggunakan senjata kaliber 7.62 dari helikopter tentera.

    "Pasukan pakatan diketuai AS adalah satu-satunya pihak dalam konflik itu yang mempunyai kemampuan mengendalikan helikopter dilengkapi senjata di kawasan itu," menurut laporan panel pakar PBB yang dibentangkan minggu ini.

    Helikopter berkenaan berkemungkinan beroperasi dari kapal tentera laut yang dikerah pasukan pakatan untuk menyokong kerajaan Yaman.

    Pasukan pakatan menafikan tenteranya beroperasi di kawasan Hodeida apabila kapal yang membawa pelarian Somalia di Laut Merah itu diserang.

    Jurucakap pasukan pakatan, Mejar Jeneral Ahmed Assiri, menyangkal tuduhan itu dan menegaskan tiada tembakan dilepaskan tentera antarabangsa di zon berkenaan.

    Di sebalik permintaan panel PBB, pasukan pakatan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pasukan Gabungan Maritim 31 negara anggota tidak berkongsi maklumat mengenai kejadian itu.

    "Panel mendapati serangan ke atas kapal awam menyalahi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menjadi ancaman kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan Yaman," menurut laporan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Pakatan Langgar Undang-Undang Kemanusiaan "