• Pasukan Lari Berganti-ganti 4x100m Wanita Cipta Rekod Baharu

    Published: Sunday, 9 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pasukan lari berganti-ganti 4x100m wanita kebangsaan mendapat suntikan semangat yang amat bermakna menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan apabila mencipta rekod baharu kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di Kalinga Stadium, Odisha, India, lewat malam Sabtu (awal pagi Ahad di Malaysia).

    Gandingan Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat masa 45.18 saat, mengatasi 0.01 saat rekod sebelum ini yang dicipta pada Kejohanan Terbuka Trek dan Padang Thailand bulan lepas.

    Rekod 45.19 saat sebelum ini dicipta kuartet Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Shereen Samson Vallabouy.

    Malaysia menduduki tempat kelima dengan Kazakhstan memenangi pingat emas (43.53 saat), China perak (44.50 saat) dan India gangsa (44.57 saat), menurut laman sesawang kejohanan berkenaan, www.odisha2017.games.com

    Pasukan lari berganti-ganti 4x100m lelaki kebangsaan terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa juga menduduki tangga kelima dengan masa 39.98 saat.

    Walaupun China dan Thailand berkongsi catatan masa 39.38 saat, juri memutuskan pingat emas menjadi milik China berdasarkan 'photo finish', manakala Hong Kong menang pingat gangsa (39.53 saat).

    Dalam acara lain, Lee Hup Wei berkongsi tempat keenam bersama tiga atlet daripada 14 peserta bagi acara lompat tinggi lelaki setelah melepasi ketinggian 2.20m manakala Jackie Wong Siew Cheer mencatat balingan sejauh 64.84m untuk menduduki tempat kelapan daripada 11 peserta dalam acara baling tukul lelaki.

    Muhammad Irfan Shamsuddin merupakan satu-satunya pemenang pingat bagi Malaysia apabila meraih perak dalam acara lempar cakera lelaki pada Khamis yang merupakan hari pertama kejohanan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Lari Berganti-ganti 4x100m Wanita Cipta Rekod Baharu "