• Pandikar Bidas Pembangkang Tuduh Dewan Rakyat Tolak Soalan 1MDB

    Published: Friday, 28 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menerima 19 daripada lebih 1,000 soalan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dibahas dalam sesi kali ini.

    Bercakap di sidang medianya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekaligus menafikan dakwaan pembangkang bahawa pihaknya tidak memberi ruang untuk perkara itu dibawa dan ditanya.

    "Dari lebih 1,000 soalan bukan kesemuanya dapat dijawab sebab peraturan mesyuarat jelas soalan-soalan yang ditapis yang didapati melanggari peraturan mesyuarat tidak diberi masuk (sidang parlimen) dan ditolak.

    "Kita bukan boleh pilih sembarangan.

    "Sebelum mereka (wakil rakyat) buat soalan baca dahulu Perkara 23 (c) sama ada apakah ia remeh, sindiran, sangkaan atau tohmahan," katanya.

    Pandikar kemudiannya menyifatkan tindakan pembangkang pada hari Isnin lalu yang mendakwa dirinya menolak soalan-soalan berkaitan 1MDB sebagai sengaja memburukkan imej beliau.

    Isnin lalu pembangkang mengecam tindakan Pandikar yang didakwa menggugurkan soalan berkaitan 1MDB, selain menyifatkannya sebagai mencemarkan kemuliaan dewan itu sendiri.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pandikar mengkaji semula peranannya selepas gagal menjalankan tanggungjawab dengan telus.

    Wan Azizah seterusnya mempersoalkan mengapa 30 soalan pembangkang berkenaan isu itu ditolak, sedangkan isu besar berkenaan perlu dijawab sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Merujuk kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 23 (C), menyatakan sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.

    Dalam sidang media itu juga Pandikar menjelaskan soalan-soalan berkaitan 1MDB tidak boleh dibincangkan di dalam Dewan Rakyat memandangkan siasatan itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

    Bukan itu sahaja memandangkan 1MDB masih dalam siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, Pandikar bimbang sekiranya ia dibahaskan akan memberi kesan kepada keputusan mahkamah di sana.

    Jika ia terjadi, menurut Pandikar, keputusannya membenarkan ia dibahaskan akan sengaja digunakan pihak pembangkang untuk menyalahkannya kembali.

    Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang meletakkan Parlimen sebagai platform terbaik untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab persoalan mengenai 1MDB, Pandikar kemudiannya menjawab ia bagaimanapun tertakluk kepada peraturan mesyuarat.

    "Apabila bercakap parlimen sebagai tempat terbaik untuk bincang, itu betul tetapi ia tertakluk kepada mesyuarat. Parlimen bukan pasar raya jual sayur, ikan, ayam... Bukan pasar lelong sebab kita ada peraturan," tegasnya.

    - Antarapos

    Subjects:

  • No Comment to " Pandikar Bidas Pembangkang Tuduh Dewan Rakyat Tolak Soalan 1MDB "