• Nothing To Hide 2.0: Medan dedah kekayaan luar biasa anak Dr. Mahathir

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+
    Forum Nothing To Hide 2.0 wajar dijadikan platform Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab persoalan mengenai kekayaan luar biasa anak-anaknya.

    Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sehingga kini, Dr. Mahathir masih menutup mulut untuk menjawab mengenai isu tersebut dan jika pemimpin itu mengamalkan keterbukaan, beliau diminta tampil menjawab dakwaan berkenaan.

    Ini kerana kata beliau, Dr. Mahathir dan presiden paeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya tidak membiarkan penyokong mereka dalam kebingungan menanggung segala persoalan yang amat berat.

    “Dr. Mahathir perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998.

    “Seperti yang pernah diminta oleh Perdana Menteri, selagi semua tuduhan sebelum ini tidak dijawab oleh Dr. Mahathir, rakyat akan sangsi dan menganggap ini adalah mainan serta sandiwara politik yang tiada keikhlasan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Nazir Hussin berkata, jika perlu, Dr. Mahathir boleh bersumpah di hadapan al-Quran bahawa tindakan beliau pada 1998 hanya pembohongan belaka dan semata-mata untuk menyelamatkan politiknya.

    “Kami berharap Dr. Mahathir cermin diri terlebih dahulu sebelum ghairah mahu membogelkan pihak lain. Akuilah bahawa program yang dicanangkannya itu bukan mencari kebenaran tetapi untuk mencari kesalahan dan membuat tuduhan palsu yang bukan-bukan.

    “Kami juga berharap Dr. Mahathir berehat sahaja daripada politik kerana usianya yang hampir satu abad itu perlu digunakan dengan sebaiknya bersama keluarga dan biarkan orang lain meneraju negara,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Nothing To Hide 2.0: Medan dedah kekayaan luar biasa anak Dr. Mahathir "