• Nicol Mara Ke Separuh Akhir Sukan Dunia

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara Datuk Nicol David semakin menghampiri untuk mempertahankan pingat emas apabila mara ke separuh akhir pada Sukan Dunia 2017 di Wroclaw, Poland, pada Selasa.

    Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang memburu pingat emas keempat berturut-turut itu bagaimanapun menghadapi tentangan sengit daripada pemain Belgium, Nele Gilis sebelum Nicol menang 11-9, 12-10 dan 11-7 pada aksi suku akhir, menurut laman web rasmi Sukan Dunia, www.theworldgames2017.com.

    Nicol bakal bertemu Joey Chan pada separuh akhir pada Khamis selepas pemain Hong Kong itu menundukkan pemain Perancis Coline Aumard dalam perlawanan mengharungi lima set 7-11, 5-11, 11-1, 11-4 dan 11-8.

    Nicol selaku pemenang pingat emas Sukan Dunia sebanyak tiga kali itu memulakan cabaran dengan menewaskan pemain Rusia Irina Beliaeva 11-4, 11-3, 11-3 dalam perlawanan yang mengambil masa hanya 14 minit sebelum menumpaskan pemain Mexico, Samantha Teran 11-3, 11-6, 11-8 untuk menempah slot ke suku akhir.

    Untuk rekod, Nicol, 33, telah meraih emas bagi tiga edisi berturut-turut pada sukan yang diadakan empat tahun sekali itu – Duisburg, Jerman (2005), Kaohsiung, Taiwan (2009) dan Cali, Colombia pada 2013.

    Sementara itu, seorang lagi pemain Malaysia dalam acara perseorangan, Rachel Arnold, tewas kepada pemain Great Britain, Millie Tomlinson pada pusingan kedua 11-7, 9-11, 11-4, 8-11 dan 13-15.

    Terdahulu, Rachel memulakan kempen dengan kemenangan 12-10, 11-13, 11-8, 11-6 ke atas pemain Republik Czech, Anna Serme.

    Cabaran Malaysia dalam kategori lelaki berakhir pada pusingan kedua apabila Mohd Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen kecundang di tangan lawan masing-masing.

    Mohd Nafiizwan, yang mendapat bye pada pusingan pertama tewas kepada pemain Peru, Diego Elias 11-7, 8-11, 11-3 dan 11-5 sementara Ivan Yuen tumpas kepada pemain Columbia, Miguel Angel Rodriguez 11-4, 2-11, 8-11 dan 5-11.

    Ivan sebelum itu menewaskan pemain Finland, Tuomi Matias 11-6, 13-11 and 11-8 dalam perlawanan pembukaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nicol Mara Ke Separuh Akhir Sukan Dunia "