• Nelayan Vietnam Cuba 'Suap' APMM

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini berdepan cubaan suapan rasuah oleh nelayan asing yang ditangkap melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

    Terbaharu melibatkan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan lebih kurang 62 batu nautika ke tenggara Kuala Kemaman, Terengganu 12.30 pagi tadi.

    Menurut Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong dan 20 awak-awak dipercayai warganegara Vietnam berumur diantara 21 hingga 46 tahun di atas bot itu.

    Katanya, 12 orang awak-awak daripadanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

    "Semasa pemeriksaan dokumen dibuat, tekong bot telah cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 agar bot tersebut dilepaskan.

    "Selain itu juga, mereka juga telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap spesies ikan yu yang dilindungi.

    "Kesemua hasil dianggarkan ikan campur 4,000 kilogram, sotong kering 400 kilogram dan ikan baja 3,000 kilogram, nilai bot dan peralatan dianggarkan lebih kurang RM 1.5 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Katanya, aset-aset Maritim Malaysia Wilayah Timur juga sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tidak mengira waktu sama ada siang atau malam sekiranya ada berlaku kes-kes kecemasan.

    Orang ramai boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999.-BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nelayan Vietnam Cuba 'Suap' APMM "