• Nelayan Kritikal Ditikam Rakan Ketika Mabuk

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang bekerja sebagai nelayan berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan sekerjanya di atas sebuah kapal nelayan di Kampung Lok Poring, Selasa lepas.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa berumur dalam lingkungan awal 30-an dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu mengalami enam kesan luka tikaman pada tubuhnya.

    “Mangsa mengalami kecederaan (parah) pada bahagian belakang badan dan lengan kiri serta masih berada dalam keadaan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut,”kata Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra dalam kenyataan hari ini.

    Menurut M. Chandra sebelum kejadian, mangsa bersama suspek yang juga tidak memiliki pengenalan diri dan dua lagi rakan mereka berada di atas kapal nelayan itu dan meminum minuman keras, kira-kira pukul 6 petang.

    Katanya suspek yang mabuk secara tiba-tiba bertindak agresif lalu menampar rakan sekerjanya yang lain.

    Apabila perbuatannya itu ditegur mangsa, suspek bertindak masuk ke dalam bilik di atas kapal berkenaan dan keluar membawa sebilah pisau lalu menyerang mangsa, kata M.Chandra.

    Menurut M.Chandra, atas maklumat orang awam, suspek berjaya ditangkap di sebuah stesyen minyak di Likas pada 5 Julai lalu, kira-kira jam 11.45 pagi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nelayan Kritikal Ditikam Rakan Ketika Mabuk "