• Nasik Lemak ‘Pink’ Hello Kitty Jadi Tumpuan

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    Selepas populariti yang diterima Nasi Lemak Anak Dara, Nasi Lemak Pondan, Spiderman dan sebagainya, kali ini giliran karakter popular Jepun, Hello Kitty pula mencuba nasib sama.

    Biarpun baru seminggu diperkenalkan, nasi lemak berwarna merah jambu dengan identiti comel watak kucing Hello Kitty itu sememangnya berjaya menarik perhatian ramai netizen menerusi media sosial.

    Dua sahabat, Nurul Aida Zulkifli dan rakan kongsinya, Zaharina Mohd. Tahar mendapat idea untuk jual nasi lemak Hello Kitty berwarna itu dengan kereta Perodua Kelisa yang diubah suai mengikut karakter kartun terbabit.

    Menurut Nurul Aida, 29; watak kartun kucing comel itu dijadikan tarikan untuk melariskan nasi lemaknya yang juga merupakan air tangan rakan kongsi, Zaharina, 32; dan dijual pada harga RM3.50 sepeket.

    “Aksesori kereta saya semuanya ditukar warna pink, kereta dicat warna pink dihias dengan patung Hello Kitty bagi menarik pelanggan.

    “Kami juga pakai pakaian warna pink serta memulakan perniagaan dari jam 7 pagi hingga 9 pagi,” katanya dipetik Sinar Harian.

    Nurul Aida yang berasal dari Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan mengakui sudah menghabiskan sebanyak RM4,000 untuk modifikasikan keretanya itu.

    Tambah ibu kepada dua anak itu, mereka juga menjual nasi lemak secara dalam talian dan menghantar kepada pelanggan dengan menaiki kereta Hello Kitty berkenaan.

    “Petang Jumaat ini saya akan buka ‘carboot’ berniaga nasi lemak berdekatan dengan pasar raya besar Tesco di Kota Bharu.

    “Sesiapa yang mahu tahu perkembangan nasi lemak Hello Kitty boleh mengikutinya di Facebook Mdm Ngoh Ediey,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Nasik Lemak ‘Pink’ Hello Kitty Jadi Tumpuan "