• Mus May Sudah Sedar

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+


    Vokalis kumpulan May, Mus, 49, sudah sedar daripada koma selepas lapan hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang.

    MUS May sudah boleh buka mata selepas beberapa hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang.
    Perkembangan terkini Mus dimaklumkan oleh isterinya, Suraya Bahari, 44, hari ini menerusi laman sosial Facebook penyanyi itu.

    “Alhamdulillah, hari ini hari kelapan Mus di ICU dan Alhamdulillah Mus sudah sedar sedikit. Dah boleh angkat tangan sikit dan faham sikit-sikit bila saya bercakap dengan dia.

    “Kalau dia faham, dia akan angguk kepala, cuma masih menggunakan bantuan mesin pernafasan lagi. Kalau dia bagi tindak balas bagus, barulah doktor akan cabutkan dan bernafas sendiri. Syukur, ya Allah,” katanya.

    Ahad lalu, Suraya turut memuat naik mengenai perkembangan kesihatan Mus dengan memberitahu suaminya sudah boleh membuka mata tapi dalam keadaan separuh sedar lagi.

    “Lama betul Mus ditidurkan dan hari ini sudah masuk hari ketujuh. Plasma exchange yang dimasukkan ke dalam darah Mus pun ada perubahan tapi masih di tahan di ICU selagi belum stabil.

    “Mus ni semangatnya kuat. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua peminat-peminat Mus yang tidak henti-henti mendoakan dia. Kalau Mus sudah sedar nanti, saya akan beritahu Mus yang peminat-peminat sayangkan dia,” tulis Suraya dalam laman sosial itu.

    Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 49, dimasukkan ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Julai lalu selepas mengalami demam panas sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

    Sebelum ini memetik laporan media tempatan, doktor mengesahkan Mus mengalami antibodi badan yang lemah dan kekurangan enzim dalam darah sehingga menyebabkan dia menjadi terlalu lemah.

    Difahamkan, Mus perlu menjalani rawatan plasma exchange bagi meningkatkan sel darah merah dalam badan. Sebelum itu, penyanyi tersebut diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkannya berehat. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Mus May Sudah Sedar "