• MRT Cenderahati PM Untuk Rakyat - Salleh

    Published: Monday, 17 July 2017
    A- A+

    Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) adalah projek negara untuk kesejahteraan rakyat walaupun kos pembinaannya tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

    Beliau berkata projek MRT laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer dengan kos RM21 bilion yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari.

    "Ini adalah cenderahati perdana menteri untuk negara. Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara,” katanya menerusi laman blognya sskeruak.blogspot.my.

    Beliau berkata pembinaan MRT itu membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dan tidak mendiskriminasikan negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

    Katanya ia juga membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara selain menyediakan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara maju.

    “Dengan terbinanya MRT ini, maka manfaatnya banyak sekali untuk rakyat. Antaranya ialah menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya.

    Salleh berkata penggunaan MRT juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas iaitu dengan kadar pengurangan 160,000 kenderaan memasuki bandar setiap hari selain dapat mengurangkan pencemaran alam dan memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.

    “Justeru pelaburan kerajaan yang tinggi dalam menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, Indeks Persaingan Global 2016-2017 meletakkan Malaysia di tangga ke-11 teratas dalam kalangan 138 negara untuk pembangunan infrastruktur pengangkutan," katanya.

    Beliau berkata kedudukan Malaysia lebih baik daripada negara ASEAN yang lain seperti Indonesia (36), Thailand (37), Vietnam (63), Filipina (90) dan Laos (110).-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " MRT Cenderahati PM Untuk Rakyat - Salleh "