• MRT Bukan Cenderahati Tapi Tanggungjawab

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+

    BENARKAH perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) ini sebagai cenderahati atau sebenarnya ia adalah keperluan yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakannya untuk rakyat?

    Empat tahun menanti, akhirnya MRT dilancarkan secara rasmi kelmarin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).

    Ia dilihat sebagai kebanggaan yang begitu mengujakan lebih-lebih lagi kepada penduduk sekitar Kajang hingga ke Sungai Buloh (meliputi pusat bandar Kuala Lumpur).

    Ini kejayaan besar buat kerajaan khususnya memasuki suku tahun kedua apabila MRT dilihat akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menerusi laman blognya sskeruak.blogspot.my berkata, MRT adalah cenderahati perdana menteri untuk negara.

    “Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara,” katanya.

    Jelas beliau, pembinaan MRT membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dan tidak mendiskriminasikan negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

    “Ia juga membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara selain menyediakan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara maju.

    “Dengan terbinanya MRT ini, maka manfaatnya banyak sekali untuk rakyat. Antaranya ialah menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya.

    Salleh juga berkata, penggunaan MRT juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas iaitu dengan kadar pengurangan 160,000 kenderaan memasuki bandar setiap hari selain dapat mengurangkan pencemaran alam dan memudahkan perjalanan kerana jadual perjalanan telah ditetapkan.

    Jelasnya, MRT merupakan projek negara untuk kesejahteraan rakyat walaupun kos pembinaannya sangat tinggi iaitu RM21 bilion untuk sepanjang 51 kilometer.

    Najib ketika berucap dalam majlis perasmian berkata, kos asal pembinaan MRT adalah sebanyak RM23 bilion, namun pelaksanaannya dapat disiapkan lebih awal menjadikan penjimatan sebanyak RM2 bilion.

    “Ia kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya.

    Soalnya, mengapa dikatakan sebagai cenderahati jika pada masa kini; ekonomi negara masih di tahap belum begitu baik, menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan menyediakannya?

    Penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba berpandangan, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan keperluan asas kepada rakyat.

    “Cenderahati jika ia dinikmati oleh semua rakyat. Tetapi MRT lebih kepada mereka yang duduk di kawasan bandar.

    “Apa yang penting, cepat atau lambat, kerajaan perlu menyediakan segala keperluan asas ini. Pada saya, MRT ini bukanlah termasuk dalam senarai asas pengangkutan awam, namun dengan keadaan semasa, ia menjadi keperluan.

    “Ia menunjukkan langkah baik yang diambil kerajaan bagi membantu sebilangan warga kota yang sering mengalami masalah kesesakan lalu lintas,” katanya kepada Sinar Harian Online.

    Namun katanya, kerajaan perlu terus menyediakan jajaran MRT ini meliputi lebih banyak kawasan.

    “Mungkin kerajaan sudah ada perancangan untuk melebar luaskan jajaran MRT ini kerana ada banyak lagi kawasan-kawasan yang boleh diberi perhatian.

    “Selain itu, kerajaan harus fokus membantu rakyat bukan hanya di kawasan bandar walaupun kita tahu keperluan mereka lebih tinggi berbanding luar bandar,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, kerajaan atau syarikat pengendali MRT boleh menyediakan tiket untuk kelompok.

    “Walaupun harga tiket dikatakan masih fleksibel, tetapi boleh dibuat penjualan tiket secara kelompok khususnya mereka berkeluarga.

    “Ini juga sebagai langkah menggalakkan orang awam menggunakan MRT dengan sebaik-baiknya,” katanya.

    Beliau menambah, biarpun sudah ada MRT, tetapi pengangkutan awam lain tidak harus dilupakan.

    “Bas dan teksi mesti ada penambahbaikan. Bukan semua orang naik MRT. Masih ramai yang memerlukan bas atau teksi. Ini kerana dua pengangkutan ini lebih dekat dengan kawasan perubahan atau kawasan kerja.

    “Jadi kerajaan tidak boleh hanya menumpukan kepada satu-satu sahaja,” katanya.

    Orang awam yang menggunakan perkhidmatan MRT akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus LRT dan monorel bermula hari ini sehingga 31 Ogos sempena hari kemerdekaan negara.

    - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " MRT Bukan Cenderahati Tapi Tanggungjawab "