• MPS Nasihat Pemilik Simpan Haiwan Dalam Kawasan Rumah

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    SIBU: Orang ramai yang tinggal di dalam kawasan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dinasihatkan untuk menyimpan kucing dan anjing peliharaan mereka di dalam kawasan rumah masing-masing, kata Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King.

    Beliau berkata ini merupakan langkah pencegahan yang perlu diambil berikutan penularan wabak penyakit anjing gila atau rabies di bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman.

    "Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak membawa pulang haiwan peliharaan dari kawasan yang dijangkiti rabies dan segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit oleh anjing dan kucing," katanya semasa mesyuarat Majlis itu hari ini.

    Tiong berkata MPS terus menjalankan operasi menangkap anjing dan orang ramai boleh meminta MPS untuk menangkap anjing liar di kawasan mereka.

    Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 366 ekor anjing telah ditangkap MPS berbanding 351 ekor pada 2016 dan 693 ekor pada tahun sebelumnya.

    Jumlah anjing yang ditangkap pada bulan ini sahaja ialah 110 ekor.

    Beliau turut merayu kepada orang ramai supaya lebih bertanggungjawab terhadap anjing mereka dan mendapat lesen pemilikan anjing daripada MPS.

    Setakat ini, hanya 97 lesen pemilikan anjing dikeluarkan, katanya.-BERNAMA
  • No Comment to " MPS Nasihat Pemilik Simpan Haiwan Dalam Kawasan Rumah "