• Model Tiada Gigi, Botak Jadi Buruan

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+

    Menjadi model wanita profesional lebih-lebih lagi bagi kelas dunia, pastinya memerlukan ciri-ciri tertentu antaranya tubuh sempurna, wajah cantik seksi, tinggi, langsing, selain mempunyai kepandaian.

    Modal wajah cantik saja belum cukup tanpa diimbangi dengan kemampuan diri baik di atas pementasan ataupun dalam pertunjukan fesyen.

    Sejak kebelakangan ini, banyak pencari bakat memberikan keutamaan pencarian lebih unik dan berbeza bermula dari kecacatan fizikal hingga mengalami kegagalan genetik berfungsi.

    Seperti Melanie Gaydos, 28, yang mengalami masalah kegagalan genetik, ectodermal dysplasia yang menghalang pertumbuhan gigi, rahang, kuku, liang roma dan tulangnya secara normal.

    Penyakitnya itu menyebabkan pelajar kolej kesenian di Pratt Institute, New York itu tidak mempunyai gigi dan ditambah lagi terkena penyakit botak atau Alopesia.

    Lebih parah, model berasal dari Connecticut, Amerika Syarikat berdepan dengan masalah buta selepas pertumbuhan bulu matanya menggores bebola matanya.

    Detik perit mulakan kerjaya

    Melanie dipetik sebagai berkata, sungguhpun kerjaya mula mendapat sambutan, namun dia juga pernah melalui detik pahit pada awal permulaan kerjaya.

    Katanya, dia juga terpaksa menggunakan rambut dan gigi palsu untuk ubah penampilan dirinya untuk diterima masyarakat.

    “Saya memberanikan diri menyertai iklan pencarian model berwajah unik dengan harapan ia membuka peluang.

    “Kehadiran saya ternyata tidak diendahkan penggiat industri fesyen hanya kerana muka saya tidak sempurna seperti kebanyakan model cantik di luar sana,” katanya.

    Sertai video muzik

    Bagaimanapun, kerjaya mula berkembang apabila diberikan kesempatan untuk berlakon dalam sebuah video muzik untuk kumpulan muzik dari Jerman, Rammstein, di Berlin.

    “Sejak itu, kerjaya saya mula berkembang dengan menghiasi pelbagai paparan iklan menarik dengan tema diberikan tanpa perlu mengubah penampilan diri.

    “Saya lebih berani dan selesa menjadi diri sendiri. Inilah perkara mahu saya ketengahkan kepada semua wanita di luar sana,” katanya.

    “Saya tidak mahu menipu dan menjadi orang lain hanya kerana mahu memenuhi kehendak pasaran semasa.

    “Setiap wanita perlu berani dan berkeyakinan tinggi dalam mengatur hidup mereka tanpa memberikan peluang untuk kepada individu lain mengubah diri anda yang sebenarnya,” katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Model Tiada Gigi, Botak Jadi Buruan "