• Misi Ke London, Pembangkang Di Sarawak Tidak Sehaluan

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    Susulan pengumuman Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menghantar pasukan khas ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 mengundang rasa tidak puas hati beberapa parti pembangkang.

    Namun parti pembangkang yang menggelarkan diri mereka Pakatan Harapan Sarawak terdiri daripada DAP,PKR dan Amanah dilihat seakan tidak sependapat dalam merungkai isu ini.

    Ini dapat dilihat apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak seakan berminat untuk menyertai pasukan perundangan yang akan ke London malah menyambut baik keputusan Abang Johari untuk mengkaji hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    PKR turut mencadangkan peguam dan pengamal undang-undang yang berkaliber di kalangan pembangkang untuk turut serta memperjuangkan hak demi rakyat Sarawak.

    "Memandangkan misi ini adalah untuk memerangi hak dan kepentingan Sarawak, kerajaan negeri perlu melangkaui fahaman politik," kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Stampin Jeffery Mok.

    Sayap pemuda PKR Sarawak juga melihat isu ini daripada segi perspektif positif bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan prinsip-prinsip hak Sarawak harus diutamakan.

    Mereka turut berharap misi kali ini akan dapat menyelesaikan semua isu berkaitan hak-hak Sarawak.

    Tetapi berbeza pula dengan tindakan DAP dan Amanah dimana mereka menempelak kerajaan negeri membuat keputusan yang kurang cerdik dan melihat ia sebagai satu pembaziran.

    Amanah sebagai dipetik berkata, ia adalah tindakan yang sia-sia dan membazir wang rakyat melainkan Abang Johari mungkin tidak percaya dengan peguam negara lantikan Putrajaya dalam menasihati MA63 sehingga terdesak merujuk ke London.

    "Seharusnya, kerajaan Sarawak hanya perlu membaca empat sudut Perjanjian Malaysia bagi mengetahui dan menghadami hak yang ada pada Sarawak kerana menjadi prinsip undang-undang bahawa segala terma yang dipersetujui selama ini telah termaktub di dalamnya," kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.

    Sementara itu, pasukan perundangan yang diketuai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan bahawa misi ini adalah untuk meneliti fakta tulen MA63 daripada dokumen asli perjanjian tersebut.

    “Ia bukan satu pembaziran. Ini adalah demi kepentingan Sarawak keseluruhannya, jadi tidak timbul soal pembaziran,” tegasnya.

    DAP pula mengaitkan langkah itu kononnya taktik Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk menutup kegagalan mereka mengembalikan semula kuasa autonomi negeri ini yang telah terhakis.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Presidannya Chong Chieng Jen berkata langkah kerajaan negeri menghantar pasukan peguam ke London bukan langkah terbaik untuk memperjuangkan kuasa autonomi negeri ini.

    “Kerajaan negeri tidak dapat memperjuangkan autonomi dengan menghantar pasukan peguam ke London bagi mengkaji dokumen bersejarah berkaitan MA63.

    Chong turut mendakwa tindakan kerajaan negeri seolah-olah seperti sengaja melengah-lengahkan isu agenda sebenar iaitu autonomi.

    Walaubagaimanapun, di pihak kerajaan negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebaliknya misi tersebut tidak menjejaskan perbincangan mengenai penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

    “Pertama sekali saya ingin maklumkan rundingan dengan Putrajaya tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku di Sarawak. Apa yang saya maksudkan tidak ada kena mengena itu ialah kerajaan negeri ada hak untuk ‘menggali’ sejarah Sarawak,"

    Memetik laporan BNBCC, Nancy menambah, perbincangan mengenai penurunan kuasa adalah proses berterusan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

    “Kalau ada pertambahan, biar kita bincang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga seorang yang bersifat munasabah, beliau juga sudah beberapa kali duduk bersama-sama untuk memahami keperluan Sarawak,” katanya.

    Pasukan berkenaan akan berangkat ke London pada 16 Julai dan akan berkunjung ke beberapa tempat untuk mendapatkan dan meneliti semua fakta berkaitan dokumen asli MA63 selama seminggu. - Sarawakiana.

    Subjects:

  • No Comment to " Misi Ke London, Pembangkang Di Sarawak Tidak Sehaluan "