• Misi Ke London Bukan Untuk Keluar Malaysia

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menegaskan tindakan beliau menghantar pasukan perundangan khas Sarawak ke London adalah bagi meneliti fakta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukannya untuk keluar dari Malaysia.

    Memetik laporan The Borneo Post, Abang Johari menjelaskan tindakan menghantar pasukan peguam ke London adalah hanya untuk meneliti fakta yang betul bagi memudahkan perundingan dengan kerajaan persekutuan.

    "Kita memerlukan fakta supaya kita dapat membincangkan perkara-perkara penting untuk rakyat dan berharap Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) terbuka hati apabila kita duduk untuk berunding,"

    “Malahan beliau (Najib) sendiri menyatakan akan berunding bersama dan apa yang menjadi hak Sarawak dikembalikan kepada Sarawak." katanya.

    Tambah Abang Johari lagi, matlamat utama mendapatkan semua fakta adalah supaya kerajaan negeri dapat mewujudkan satu kedudukan undang-undang yang kukuh dalam mengembalikan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63.

    “Di sini, yang penting ialah apa yang telah dimulakan Tok Nan (bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) untuk mempertahankan hak orang Sarawak dalam rangka MA63,"

    “Saya akan meneruskannya dan cara kita tidak membabi-buta di mana kita perlu meneliti fakta yang betul baharulah kita dapat mengadakan rundingan apa yang kita mahu rundingkan,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau turut menyelar apabila terdapat beberapa pihak yang begitu negatif terhadap pendirian tegasnya mempertahankan hak orang Sarawak dalam rangka MA63.

    "Kenapa perlu ada orang yang takut kami menghantar pasukan perundangan ke London, termasuk beberapa pihak di Semenanjung Malaysia? Apa yang perlu ditakutkan? Kami akan kekal di Malaysia dan itu adalah nyata," jelas beliau. - Sarawakiana
  • No Comment to " Misi Ke London Bukan Untuk Keluar Malaysia "