• Misbun Gembira Komitmen Pemain

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas seminggu memulakan tugas selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek mengakui dapat menyelami keinginan pemain untuk dibimbing pada tahap lebih tinggi. 

    "Melihat prestasi pemain ketika latihan, saya nampak ada peningkatan daripada deria rasa mereka, mereka mahu dilatih bagi meningkat ke tahap lebih tinggi. 

    "Buat masa ini, saya cuba nak bentuk pemain ini berdasarkan kekuatan mereka termasuk kecergasan dan kebolehan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini. 

    Misbun yang membantu Datuk Lee Chong Wei meraih pingat perak Olimpik pertamanya pada 2008 di Beijing, berkata fokus utama kini ialah meningkatkan tahap kecergasan semua pemain. 

    Katanya, paling utama ialah daya ketahanan mereka. 

    "Dalam kejohanan, kita akan bermain enam pusingan sehingga final, jadi kekuatan mereka itu perlu sama dengan lima pemain. 

    "Ramai pemain bila menjalani latihan berasa mereka cergas tetapi bila sampai masuk pusingan ketiga sudah tidak boleh tahan, sakit-sakit semua. 

    "Jadi, tahap kecergasan menghadapi setiap kejohanan adalah penting," katanya. 

    Mengenai perubahan waktu latihan yang kini bermula seawal 6.30 pagi sejak beliau kembali menjadi jurulatih, Misbun jelas ada alasan yang tersendiri. 

    "Saya cuba bermula lebih awal. Oleh sebab dewan gelanggang buka 6.30 pagi, waktu itu saya mahu terus mulakan. 

    "Apabila saya bermula awal, pemain akan mula sedar dan tidur awal. 

    Kecergasan lebih penting pada keesokan paginya, jika saya tidak buat begini, mereka fikir nanti tidak diberi perhatian," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Misbun Gembira Komitmen Pemain "