• Microsoft Umum Kurangkan Pekerjaan

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+
    SAN FRANCISCO: Microsoft mengumumkan akan mengurangkan jumlah pekerjaan susulan laporan gergasi teknologi Amerika Syarikat itu dikatakan sedang menyusun semula operasi jualan global.

    "Hari ini, kami mengambil langkah memaklumkan kepada sebahagian kakitangan bahawa kedudukan mereka sedang dipertimbangkan atau jawatan mereka akan dihapuskan," kata Microsoft menjawab soalan AFP menerusi e-mel.

    Sebelum ini, stesen televisyen CNBC melaporkan syarikat itu akan mengurangkan 3,000 jawatan kebanyakan daripada kakitangan bukan jualan.

    "Seperti syarikat lain, kami sering menilai perniagaan. Ini mungkin membawa kepada pertambahan pelaburan atau penyusunan semula," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Pemberhentian pekerja dilakukan ketika syarikat berkenaan menyusun semula bahagian jualan untuk menjadikan Microsoft sebagai segmen penting bagi perniagaan yang bergantung kepada pengkomputeran awam, lapor media.

    Menurut laman webnya, Microsoft mempunyai lebih 121,000 pekerja di seluruh dunia, setakat Mac lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella cuba mengurangkan tumpuan syarikat itu terhadap perisian dan beralih kepada pengkomputeran awam dan perkhidmatan perniagaan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Microsoft Umum Kurangkan Pekerjaan "