• MH17: Bicara Tanpa Pesalah

    Published: Monday, 17 July 2017
    A- A+


    SYDNEY: Pesalah yang menembak jatuh Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines pada Julai 2014 mungkin dibicara tanpa kehadiran mereka, kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop.

    Bishop berkata, ‘semua saluran undang-undang sedang diusahakan’ dan menggesa Rusia supaya mematuhi Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa­Bangsa Bersatu yang dirangka Australia.

    “Resolusi ini meminta semua negara supaya bekerjasama untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan,” kata Bishop kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

    “Ia mungkin membawa kepada kaedah perbicaraan tanpa kehadiran,” tambahnya.

    Bishop berkata demikian beberapa hari selepas Malaysia menyuarakan harapan supaya suspek yang menembak jatuh MH17 diketahui menjelang hujung tahun ini.

    Semua 298 penumpang dan anak kapal MH17 terbunuh dalam tragedi itu.

    Kebanyakan mereka yang menaiki pesawat jenis Boeing 777 itu merupakan rakyat Belanda di samping penumpang dari 17 negara lain termasuk 38 warga Australia.

    Pesawat itu ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu BUK buatan Rusia di timur Ukraine yang ditawan kumpulan pemisah pro-Moscow, demikian menurut rumusan Lembaga Ke­selamatan Belanda pada 2015.

    Rusia bagaimanapun menafikan roket buatan negara itu digunakan untuk membedil pesawat MH17.

    Pada akhir Jun lalu, Belanda menyatakan, suspek kes itu akan didakwa di mahkamah Belanda dan menggunakan undang-undang Belanda. – Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " MH17: Bicara Tanpa Pesalah "