• Masing Dakwa Ekonomi Dayak Disekat & Didiskriminasi

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Masing sekali lagi menyalahkan pihak tertentu sebagai punca kegagalan kaum Dayak untuk bersaing dengan kaum lain, khususnya dalam bidang ekonomi.

    Beliau mendakwa terdapat diskriminasi untuk menyekat kedudukan ekonomi kaum terbesar di negeri Sarawak itu sejak sekian lama.

    “Orang-orang Dayak, kumpulan Orang Asal terbesar di Sarawak, telah lama didiskriminasi, bahkan sehingga mereka tidak mempunyai kedudukan ekonomi untuk bankrup,” katanya dipetik Free Malaysia Today (FMT).

    Menurut laporan eksklusif FMT, Masing mendakwa beberapa pihak yang takut kehilangan kuasa telah menafikan peluang Dayak untuk menjadi bebas dari segi kewangan.

    "Dengan hanya meletakkan sedikit peluang, kerana terdapat unsur diskriminasi terhadap kami, daripada membenarkan kami (menjadi bebas), masyarakat Dayak bahkan tidak mempunyai peluang untuk bankrup.

    "Mereka memiliki sedikit perniagaan, dan beberapa peluang perniagaan juga telah diberikan kepada mereka.

    "Itulah sebabnya kemiskinan telah menjadi masalah utama kami," katanya.

    Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata jika masalah ini tidak diperbetulkan, orang Dayak akan "tunduk kepada politik wang" yang diamalkan oleh pihak yang memasukkan wang ke dalam poket mereka.

    Masing bagaimana pun menjelaskan, penyelesaian terbaik untuk masalah ini adalah "Pendidikan."

    Menurutnya pendidikan bagi masyarakat Dayak hanya dapat dipertingkatkan jika sekolah di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar, dilengkapi dengan pengajar yang memahami masyarakat di Sarawak.

    Menerusi laporan terdahulu, Masing turut mendedahkan terdapat usaha berterusan komuniti tertentu selama beberapa dekad untuk memecahbelahkan orang Dayak bagi memastikan komuniti mereka kekal berkuasa. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Masing Dakwa Ekonomi Dayak Disekat & Didiskriminasi "