• Malaysia Berhasrat Jalin Kerjasama Dengan Singapura

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    SINGAPURA – Malaysia melahirkan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Singapura berkaitan keselamatan siber dan keselarasan perlu dilakukan bagi menjayakannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    “Singapura mempunyai perancangan yang komprehensif yang mana mereka selaraskan semua agensi untuk memberi keutamaan kepada keselamatan siber kerana ia merupakan ancaman seluruh dunia ketika ini,” kata Salleh kepada Bernama ketika ditemui di sini.

    Beliau melahirkan hasrat itu kepada rakan sejawatannya di Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim di satu majlis taklimat berkaitan keselamatan siber antara kedua-dua negara, yang berlangsung di Grand Hyatt Hotel di sini hari ini.

    Salleh berkata bagi Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan keselamatan siber, yang kini dianggap sebagai keselamatan negara.

    Beliau berharap kementerian-kementerian yang berkaitan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada MKN.

    Selain itu, Salleh juga berharap Rang Undang-undang berkaitan Akta Keselamatan Siber akan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

    Dilaporkan sebelum ini, draf akta tersebut telah diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk penelitian pada awal Jun lalu sebelum dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.

    Menyentuh berkaitan pembangunan insan dalam bidang keselamatan siber ini, Salleh berkata Malaysia harus mempunyai pakar-pakar tertentu dalam bidang tersebut.

    “Ia satu profesion penting yang perlu kita beri keutamaan. Di Singapura mereka mengambil perhatian terhadap perkara seperti ini,” katanya.

    ​​​​​​​Namun, katanya keselamatan siber bukan hanya melibatkan kerajaan semata mata, sebaliknya harus turut melibatkan pemain-pemain industri yang berkaitan.​​​​​​​

    “Kita sedang menuju ke arah digital ekonomi maka kita harus tentukan bidang-bidang berkaitan dengan keselamatan siber dan digital ekonomi diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

    Selain itu, Salleh berkata pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan keselamatan siber perlu diberi keutamaan.

    Hadir sama pada sesi taklimat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura Gabriel Lim, dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

    Ketika di sini, Salleh menghadiri rakaman Program Muzika Ekstravaganza yang akan disiarkan serentak melalui saluran TV2 Radio Television Malaysia (RTM) dan Mediacorp Suria mulai 9 malam ini.

    Beliau juga bertemu Menteri Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Ehwal Luar Singapura, Josephine Teo. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Berhasrat Jalin Kerjasama Dengan Singapura "