• Majlis Bandaraya Miri Tangkap Anjing Liar

    Published: Wednesday, 5 July 2017
    A- A+

    MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MCC) menasihatkan pemilik anjing di Bandar Miri memastikan bahawa anjing peliharaan mereka berada dalam perkarangan rumah bagi mengelakkan risiko penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila.

    “Semua pemilik anjing dinasihatkan supaya tidak melepaskan anjing mereka berkeliaran di kawasan awam kerana ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kesihatan,” kata MCC dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    MCC akan mengambil tindakan dengan menangkap anjing liar yang berkeliaran di kawasan awam jika menerima aduan daripada orang ramai mengenai kehadiran anjing liar di kawasan mereka.

    “Kami juga menyediakan perkhidmatan memindahkan bangkai haiwan yang mati seperti anjing dan kucing di kawasan awam, kata kenyataan itu.

    Mengenai wabak rabies yang meragut nyawa dua kanak-kanak di Serian, Samarahan semalam, MCC berkata orang ramai dinasihatkan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.– BERNAMA
  • No Comment to " Majlis Bandaraya Miri Tangkap Anjing Liar "