• Mahu Balas Jasa Peneroka Felda – Akmar Hisham

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+
    PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena sambutan Hari Pene­roka Peringkat Kebangsaan 2017 yang bakal diadakan di Persiaran Perdana di sini pada 21 hingga 23 Julai ini kata Pengarah Publisiti Ekspresi Felda Negaraku Malaysia, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

    Beliau berkata, tujuan utama program tersebut diadakan untuk mendedahkan kepada orang ramai tentang pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh Felda yang tidak diketahui.

    “Kita ingin paparkan tentang pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh peneroka dan ge­nerasi anak-anak peneroka Felda yang kini menjadi usahawan dan selebriti tanah air termasuk perkembangan Felda sejak daripada awal penubuhan sehingga kini.

    “Antara perkara lain yang ramai yang tidak tahu tentang Felda ialah Felda Lurah Bilut, Felda Tun Ghafar termasuk Felda di Sabah adalah terdiri daripada kaum-kaum lain dan bukan orang Melayu,” katanya menerusi taklimat program tersebut, seperti memetik Kosmo.

    Akmar yang merupakan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri berkata, pihaknya juga bakal membawa seramai 25,000 peneroka Felda untuk datang ke putrajaya bagi meraikan segala jasa dan pengorbanan mereka selama ini.

    “Ini merupakan hari khas untuk para peneroka dan kita mahu mereka datang ke Putrajaya dan melihat sendiri pencapaian yang telah mereka lalui dan lakukan bersama-sama dengan Felda,”ujarnya.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Hari Peneroka Kebangsaan 2017 pada 23 Julai sekali gus menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik dan Tokoh Imam, Pingat Khidmat Bakti dan Anugerah Keceriaan Kampung Felda yang menawarkan hadiah RM1 Juta.- SuaraTV

    Subjects:

  • No Comment to " Mahu Balas Jasa Peneroka Felda – Akmar Hisham "