• LRT, Infrastruktur Pelancongan Dibangunkan Di Bau

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUCHING : Daerah Bau bakal menjadi salah sebuah destinasi pelancongan utama Sarawak apabila kerajaan negeri merancang membina lebih infrastruktur berkaitan, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata kerajaan mengambil inisiatif berkenaan bagi menggalakkan pembangunan dan ekonomi di situ disamping dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri.

    "Kita ada pelan induk untuk Bau iaitu membangunkan semua infrastruktur berkaitan pelancongan termasuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan daerah ini ke Lundu dan Sematan,” katanya.

    Selain itu katanya, kawasan Siniawan juga turut dibangunkan termasuk banglo peninggalan warisan Brooke.

    “Kita nak bangunkan Siniawan sebab ia ada tarikan tersendiri dan memiliki nilai sejarah Rajah Brooke yang dapat menarik ramai pelancong,” katanya.

    Abang Johari menambah, perpaduan dan keharmonian di kalangan kaum di Sarawak menjadi kekuatan untuk menarik pelancong luar menikmati keindahan negeri ini.

    “Kita di Sarawak tidak bergaduh tetapi menghargai budaya antara satu sama lain dan ini harus kita tunjukkan kepada dunia bahawa Sarawak adalah tempat yang harus mereka lawati,” ujarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " LRT, Infrastruktur Pelancongan Dibangunkan Di Bau "