• Lelaki langgar kereta polis berjaya ditahan

    Published: Sunday, 16 July 2017
    A- A+
    KLANG - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang bertindak melanggar kereta pasukan keselanatan itu dalam usaha meloloskan diri daripada ditahan di Taman Selat Selatan, Pelabuhan Klang di sini, malam semalam.

    Suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta jenis Mercedes Benz C200 dipercayai kereta curi itu berjaya ditahan sepasukan anggota polis yang mengekorinya.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tembakan dilepaskan di Lorong Selat Selatan 7 pada pukul 12.05 tengah malam.

    Katanya, siasatan awal mendapati, sepasukan anggota dari Balai Polis Klang dan Balai Polis Pandamaran telah mengekori kereta jenis Mercedes Benz C200 yang dinaiki suspek dari simpang empat Jalan Banting menghala ke kawasan Pandamaran kira-kira pukul 9.50 malam.

    "Apabila tiba di Lorong Selat Selatan 7, Taman Selat Selatan, Pelabuhan Klang, kereta itu berhenti sebelum pemandunya mengundurkan kenderaan tersebut.

    "Pasukan serbuan turun dari kereta dinaiki dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada pemandu terbabit dan secara tiba-tiba kereta itu terus melanggar kereta dinaiki anggota, menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.

    "Suspek turut melanggar pagar sebuah rumah di laluan itu dalam usaha meloloskan diri tetapi berjaya ditahan pasukan serbuan," katanya.

    Alzafny berkata, berdasarkan rekod, suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampu membabitkan pelbagai kesalahan manakala kereta mewah dipandunya dilaporkan hilang di Klang. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki langgar kereta polis berjaya ditahan "