• Lelaki Indonesia Hilang Disambar Buaya Di Beladin

    Published: Friday, 14 July 2017
    A- A+

    PUSA: Seorang pekerja ladang warganegara Indonesia hilang selepas disambar buaya di Sungai Plasan, Beladin dekat sini malam tadi. 

    Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, lelaki malang yang dikenali sebagai Sulaiman, 25 baru sahaja balik dari kerja di ladang kelapa sawit bersama rakannya sebelum berhenti di tebing sungai untuk memancing.

    Menurut rakannya, ketika sedang duduk di tebing sungai, seekor buaya tiba-tiba muncul lalu menyambar mangsa dalam sekelip mata.

    Cemas dengan insiden berkenaan rakannya terus berlari memaklumkan kepada rakan lain yang berada di ladang tempat kerja mangsa sebelum laporan polis dibuat.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke lokasi kejadian sejurus laporan diterima.

    "Tiga anggota terbabit menaiki kenderaan pacuan empat roda yang turut membawa sebuah bot untuk melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

    "Lokasi kejadian yang terletak 60 kilometer dari balai bomba dan perlu menaiki feri untuk menyeberangi Sungai Saribas. 

    "Pasukan mencari dan menyelamat tiba di lokasi kejadian sekitar jam 11.24 malam dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa mengalami kesukaran akibat keadaan sungai yang gelap," katanya.

    Sehingga berita ini ditulis operasi mencari dan menyelamat belum menemui mangsa. -Sarawakiana
  • No Comment to " Lelaki Indonesia Hilang Disambar Buaya Di Beladin "