• Lacazette buat Gunners bimbang

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+


    LONDON: Alexandre Lacazette mencetus keresahan peminat Arsenal apabila pemain yang dibeli dengan rekod perpindahan kelab itu keluar daripada padang dengan sedikit kecederaan ketika Gunners tewas 2-1 kepada Sevilla di Piala Emirates, pagi tadi.

    Pemain yang dibeli Gunners dari kelab Perancis, Lyon dengan nilai STG52 juta pound (RM292.64 juta) itu terdesak untuk mencipta impak di Emirates namun penampilannya di Stadium Emirates tidak berjalan seperti diharapkan sebelum dikeluarkan.

    Sekali pun penyerang berusia 26 tahun itu berjaya menjaringkan gol tunggal Gunners pada perlawanan itu, dia terpaksa digantikan dengan Theo Walcott pada babak kedua selepas mengadu kesakitan.

    Arsenal dijadual bertemu Chelsea pada perlawanan Piala Perisai Komuniti di Wembley pada 6 Ogos ini sebelum membuka kempen Liga Perdana lima hari kemudian melawan Leicester.

    Berikutan itu, Wenger pasti berharap apa yang berlaku kepada Lacazette bukan sesuatu yang serius.

    "Dia tidak apa-apa. Saya mengeluarkannya bukan kerana kecederaan. Dia bergelut kerana permainan kami agak mendatar dan dia tidak banyak membantu.

    "Tetapi apabila dia terbabit dengan bola, dia bijak, dia mengawal bola dengan baik dan memperoleh jaringan. Itulah dia. Untuk menjaringkan gol kamu perlu berada di tempat yang betul dan apabila hantaran tiba dia menggunakan kualitinya, " kata Wenger.

    Sevilla mendahului menerusi gol JoaquĆ­n Correa pada minit ke-49 namun Lacazette membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62.

    Steven N'Zonzi begitupun menjadi pemusnah buat Arsenal apabila menjaringkan gol kemenangan Sevilla pada minit ke-69.

    Sekali pun tewas, Arsenal masih menjulang Piala Emirates buat kali kelima berdasarkan jumlah jaringan yang dikumpul dalam kejohanan pra musim yang membabitkan empat pasukan itu.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Lacazette buat Gunners bimbang "