• Kipas Siling Jatuh Timpa Pelajar

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    IPOH: Seorang pelajar tingkatan enam rendah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael di sini cedera di pipi kiri akibat terkena kipas siling dalam bilik darjah yang terjatuh hari ini.

    Kejadian berlaku ketika Sam Ming Hui, 18, sedang mengikuti mata pelajaran Pengajian Am di dalam kelasnya pada pukul 9.30 pagi.

    Ketika ditemui, Ming Hui, 18, berkata, sebelum kipas siling menimpanya, dia mendengar bunyi ‘klik’ sebelum kipas tersebut tiba-tiba terjatuh.

    “Saya terkejut dan terus rasa pedih pada pipi kiri. Saya tekap luka dengan tisu dan dibawa ke bilik pengetua sebelum bapa membawa saya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui semasa menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini hari ini.

    Bapa pelajar itu, Sam Yau Seng, 45, berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi oleh pengetua sekolah.

    Katanya, dia melihat luka di pipi anaknya kira-kira lima sentimeter panjang dan terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    “Sukar untuk membayangkan jika kipas itu terkena pada anggota badan lain, mungkin boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius,” katanya.

    Yau Seng berharap pihak sekolah sentiasa menyelenggara peralatan elektrik atau peralatan lain bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

    Sementara itu, Pengetua SMK St. Michael, T. Gunalan berkata, siasatan awal mendapati kipas berkenaan terjatuh berpunca daripada skru pengikat kipas yang patah.

    Beliau berkata, ekoran kejadian itu, pihak sekolah memeriksa semua kipas di sekolah malah menukar kipas baharu di kelas berkenaan.

    “Kipas yang jatuh ini dipercayai sudah 10 tahun digunakan namun kita sentiasa menyelenggara segala peralatan elektrik dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kipas Siling Jatuh Timpa Pelajar "