• Khabar Angin Limousin Ini ‘Kereta Kahwin’ Puteri Johor

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Gambar limousin Hummer berwarna kuning milik keluarga diraja Johor, yang dirakam di sebuah cawangan Puspakom di Muar dekat sini menjadi tular dalam kalangan netizen.

    Ramai pengguna media sosial yang berkongsi gambar itu mendakwa konon kenderaan mewah tersebut mungkin digunakan bagi majlis pernikahan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bulan depan.

    Bagi mengesahkan khabar angin itu, akhbar The New Straits Times menghubungi beberapa sumber mengenai spekulasi yang tersebar luas sejak kenderaan itu dihantar ke pusat pemeriksaan kenderaan pada Khamis lalu.

    Satu sumber mendedahkan limusin berukuran sepanjang 11 meter itu merupakan koleksi peribadi kereta mewah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tetapi ia tidak digunakan buat masjlis pernikahan akan datang.

    “Ia hanya merupakan koleksi persendirian baginda sultan dan tidak berkait dengan majlis perkahwinan anakanda puterinya. Kenderaan import tersebut malah telah dibeli buat beberapa sekian lamanya,” menurut sumber itu.

    Apabila dihubungi akhbar berbahasa Inggeris tersebut, satu sumber dari ibu pejabat Puspakom memberitahu bahawa kenderaan berkenaan sudah tiba di cawangannya di Muar pada Khamis untuk proses pemeriksaan biasa.

    “Kami tidak tahu berapa lama ia sudah berada di sana,” kata sumber tersebut. Hummer ialah jenama trak dan SUV daripada pembuatnya di Amerika Syarikat (AS) dan ia bermula dengan pembuatan kenderaan tentera negara itu.

    Pada 1992, syarikat pengeluarnya mula menjual Hummer dalam versi kenderaan awam yang boleh diguna pakai pengguna bukan tentera berasaskan model asalnya High Mobility Multipurpose Wheeled Vehicle atau Humvee.

    Pada 23 September tahun lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah menghadiahkan sebuah lagi limousin Hummer ditempah khas bagi kegunaan pihak pengurusan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Model berwarna putih itu disumbangkan baginda sebagai tanda penghargaan atas kejayaan pasukan JDT yang ketika itu baru memenangi Liga Super buat tiga tahun berturut-turut sejak 2014. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Khabar Angin Limousin Ini ‘Kereta Kahwin’ Puteri Johor "