• Kertas kabinet Pendidikan 4.0 dibentang 2 bulan lagi

    Published: Thursday, 20 July 2017
    A- A+
    Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membentangkan dalam tempoh dua bulan lagi kertas kabinet berhubung Pendidikan 4.0 yang bertujuan mengadaptasi teknologi dalam pendidikan bagi keperluan masa depan negara.

    Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kertas kabinet itu akan menggariskan panduan pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran serta memenuhi keperluan Industri 4.0.

    “Kita tidak ada pilihan ketika ini kerana Industri 4.0 yang berlandaskan kepada penggunaan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), robotik, virtual reality, dan 3D printing ini akan diguna pakai dalam sistem pendidikan kita tidak lama lagi.

    “Justeru, ketika ini kita dalam proses pengumpulan data bagaimana untuk melaksanakan Pendidikan 4.0 dengan menghadiri seminar berkaitan Industri 4.0 untuk mendapatkan cara terbaik bagi mengadaptasi teknologi itu dalam pendidikan kita,” katanya selepas menggulung usul pada persidangan hari terakhir Parlimen Mahasiswa di Parlimen, hari ini.

    Beliau berkata apabila diluluskan kelak, Pendidikan 4.0 yang turut menyaksikan penglibatan pemain industri akan menggabungkan semua fakulti pengajian di bawah satu bumbung untuk mengadaptasi Industri 4.0 itu secara menyeluruh.

    “Sinergi ini akan menyaksikan tiada lagi jurang antara industri dengan sistem pendidikan akademik,” katanya.

    Sementara itu, Idris menjangkakan semua 20 universiti awam di negara ini akan mendapat taraf wakaf menjelang hujung tahun ini, dalam usaha membantu institusi pendidikan awam menjana pendapatan sendiri.

    Beliau berkata, ketika ini 13 universiti awam telah mendapat taraf wakaf daripada Majlis Agama Islam di tempat masing-masing dan tujuh lagi masih menunggu kebenaran untuk melaksanakan sistem tersebut.

    “Menjelang 2020 semua universiti awam perlu memastikan 30 peratus penjanaan pendapatan dari mereka sendiri dan dana dari sistem wakaf ini adalah satu inisiatif untuk membantu mereka mendapatkan pendapatan.

    “Sebagai contoh Universiti Putra Malaysia kini telah mengumpul RM7 juta walaupun baru beberapa bulan dapat taraf wakaf sementara Universiti Sultan Zainal Abidin dijangka mengumpul RM20 juta akhir tahun ini,” katanya.

    Mengenai Universiti Sukan, Idris berkata, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas temasya Sukan Sea bulan depan untuk menilai keperluan bagi universiti seumpama itu.

    Menyentuh mengenai kualiti perbahasan pada persidangan Parlimen Mahasiswa itu, beliau berkata, peserta berjaya mempamerkan kematangan di luar jangkaan berdasarkan perbahasan yang baik serta intipati berkualiti. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Kertas kabinet Pendidikan 4.0 dibentang 2 bulan lagi "