• Kerjasama TH, STC Mudahkan Jemaah Haji Beli Kad Sim Prabayar

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    MADINAH: Tabung Haji (TH) menjalinkan kerjasama dengan syarikat Saudi Telecommunications Company (STC) bagi memberi kemudahan perkhidmatan kad sim prabayar kepada jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1438 Hijrah.

    Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Musim Haji 1438 Hijrah, Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata persefahaman itu bagi memudahkan jemaah haji Malaysia berhubung dengan keluarga masing-masing di tanah air, semasa berada di Tanah Suci.

    Beliau berkata proses pembelian dan pendaftaran kad sim prabayar adalah berbeza untuk setiap syarikat telekomunikasi di Arab Saudi.

    "Syarikat-syarikat telekomunikasi ini menyediakan gerai atau kiosk, masing-masing berdekatan dengan semua bangunan penginapan tempat tinggal jemaah haji Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil persefahaman dengan STC itu, proses membeli kad sim prabayar lebih mudah untuk mendaftar nombor telefon bimbit jemaah haji Malaysia.

    Katanya jemaah haji hanya perlu membawa Lencana Pengenalan Haji untuk mendaftar bagi mendapatkan nombor talian STC di gerai atau kiosk yang berada berdekatan dengan semua bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.

    "Nombor pasport jemaah yang tercatat di Lencana Pengenalan Haji akan digunakan untuk proses pendaftaran, dan petugas STC akan mengambil cap jari jemaah di kiosk," katanya.

    Nurrin Anuwar berkata harga pembelian kad sim prabayar STC adalah SR30, namun nilai dalam kad sim berkenaan sebanyak SR25.

    Beliau berkata petugas STC akan membantu jemaah untuk memasukkan kad sim prabayar ke dalam telefon bimbit jemaah bagi mengaktifkan kad tersebut.

    "Apabila pengaktifan dilakukan di gerai, jemaah boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi saudara-mara di tanah air," katanya.

    Jelas Nurrin Anuwar, setiap syarikat telekomunikasi mempunyai proses pembelian kad sim prabayar berbeza, dengan memerlukan maklumat tambahan butiran pasport dan visa haji.

    "Sekiranya jemaah haji mahu menggunakan kad sim prabayar syarikat telekomunikasi selain STC, kami menasihatkan jemaah haji mengambil gambar atau salinan muka surat pasport dengan butiran peribadi dan visa haji untuk simpanan. Ini kerana, pasport jemaah haji akan diserahkan kepada pihak Muassasah semasa tiba di Arab Saudi," katanya.

    Pada masa ini, beliau berkata jemaah haji digalakkan menggunakan perkhidmatan STC berikutan proses pembelian kad sim prabayar adalah lebih mudah.

    Katanya syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) juga akan meneruskan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah air pada kadar berpatutan SR1 seminit di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia.

    Dalam pada itu, seorang jemaah haji Malaysia Rohani Saji, 60, dari Seremban, berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk membeli kad sim tersebut, sekali gus memudahkannya menghubungi keluarga di tanah air. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerjasama TH, STC Mudahkan Jemaah Haji Beli Kad Sim Prabayar "