• Kerana Vandalisme, Budak 10 Tahun Koyak Pipi

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    AMPANG: Perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu yang mencabut papan tanda di Taman Bukit Teratai, di sini, mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera di pipi.

    Pada kejadian jam 5 petang, Jumaat lalu, mangsa menerima enam jahitan selepas pipinya luka akibat terjatuh berhampiran rangka papan tanda yang dicabut.

    Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Firdaus Babh berkata, kegiatan vandalisme yang dipercayai didalangi warga asing di sekitar kawasan itu dikesan sejak beberapa bulan lalu.

    “Kawasan rekreasi di situ baru saja dibaik pulih awal tahun ini oleh pihak berkuasa. Namun kegiatan warga asing yang mengutip bahan terpakai di lokasi sekitar menyebabkan kawasan ini kotor, malah mereka turut terbabit dengan vandalisme.

    “Kumpulan warga asing itu sering dilihat mengutip bahan terpakai terdiri daripada besi dan aluminium. Kami percaya papan tanda yang diperbuat daripada aluminium itu diambil mereka berdasarkan keadaan rangkanya yang masih elok,” katanya.

    Mohd Firdaus berkata, rangka papan tanda itu dihasilkan daripada besi malah bucunya yang tajam pasti membahayakan kanak-kanak yang bermain di lokasi berkenaan.

    “Itu yang terjadi apabila kanak-kanak lelaki cedera di pipi selepas terjatuh ketika bermain di taman permainan bersama rakannya.

    “Penduduk di taman perumahan ini mengemukakan masalah itu kepada MPAJ untuk tindakan susulan.

    “Penduduk turut memohon MPAJ menutup kawasan itu sementara waktu bagi membolehkan papan tanda dibaiki,” katanya.

    Menurut beliau, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut diminta melakukan rondaan di kawasan sekitar bagi membendung kegiatan vandalisme.-Harian Metro

    Subjects:

  • No Comment to " Kerana Vandalisme, Budak 10 Tahun Koyak Pipi "