• Kerajaan Larang Bawa Masuk Guarana

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kerajaan mengharamkan import tumbuhan dan benih Guarana dari kawasan Tropika Amerika kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang boleh menjejaskan industri tanaman getah di negara ini.

    Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek, berkata spora penyakit SALB yang disebabkan kulat 'Microcylusulei' itu sangat berbahaya kepada industri getah negara kerana ia boleh mengakibatkan tanaman getah muda menjadi bantut.

    Jelas beliau, serangan pada pokok besar pula boleh menyebabkan pokok menjadi meranting, kering, tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif dan seterusnya mati.

    "Tumbuhan ini hanya boleh dibawa masuk untuk tujuan penyelidikan melalui kebenaran jabatan, termasuk mematuhi arahan di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981," katanya pada sidang media Larangan Mengimport Biji Benih Guarana Dari Brazil dan Kawasan Tropika Amerika di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Operasi), Datuk Jamal Harizan dan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan), Datuk Jabar Sheikh Muhaideen.

    Guarana adalah sejenis tumbuhan memanjat yang berasal dari Lembah Amazon dan banyak didapati di negara Amerika Selatan, berdaun besar dan mengeluarkan gugusan buah berwarna merah bila masak.

    Buahnya mengandungi biji sebesar biji kopi dan boleh diproses menjadi minuman sama seperti kopi tetapi kadar kafeinnya lebih tinggi iaitu dua hingga 4.5 peratus berbanding hanya satu hingga dua peratus dalam biji kopi.

    Minggu lalu, Jabatan Pertanian menyita anak benih Guarana yang dibawa masuk secara haram dan ditanam di Baling, Kedah, hasil maklumat daripada orang ramai serta media.

    Jelas Zakaria, pokok Guarana yang disita itu akan dirawat menggunakan racun kulat seperti Thiophanate methyl, Benomyl dan Carbendazim bagi memastikan kulat yang terdapat pada pokok itu dibunuh.

    Katanya, SALB sangat berbahaya, malah kegagalan tanaman getah di Brazil dan negara berdekatan seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama sejak dulu sehingga sekarang dikenal pasti berpunca akibat penyakit berkenaan.

    "Kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bil.7 Tahun 1983 bagi memastikan pelawat dari negara yang mempunyai penyakit SALB supaya membasuh pakaian mereka di negara yang berlainan iklim seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia, New Zealand dan Jepun.

    "Langkah ini bertujuan memastikan mereka bebas daripada spora SALB sebelum singgah di negara ini, sekali gus memastikan spora berkenaan tidak dibawa masuk bersama," katanya.

    Menurutnya, serangan kulat SALB itu sangat cepat merebak dan menyerang pokok getah terutama dalam keadaan cuaca yang lembap.

    Malah, kawasan pokok getah yang terdapat berhampiran nurseri tanaman Guarana di Baling itu juga akan dipantau bagi memastikan penyakit SALB tidak menyerang pokok terbabit. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Larang Bawa Masuk Guarana "