• Kerajaan Jumpa Waris Mangsa MH17 Khamis Depan

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+


    SEPANG: Waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine akan diberi taklimat perkembangan terkini termasuk berkaitan pendakwaan suspek di Belanda pada 13 Julai ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata satu pertemuan akan diadakan bersama waris dan keluarga mangsa di Hotel Marriot di Putrajaya.

    "Kerajaan mengulangi pendirian bahawa keadilan perlu ditegakkan dan suspek yang bertanggungjawab dalam tragedi berkenaan perlu dihadapkan ke mahkamah.

    "Malaysia termasuk semua negara yang terbabit sedang bertungkus lumus untuk membawa suspek ini ke muka pengadilan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pembukaan pusat pengedaran global Renesas Electronics di sini hari ini.

    Tiong Lai dalam satu kenyataan semalam berkata, Malaysia bersetuju bahawa pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menembak pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Ukraine pada 2014 dilakukan di Belanda.

    Beliau berkata, Malaysia bersama-sama dengan rakan dalam Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju mengenai pendakwaan nasional dibuat di Belanda sebagai proses yang efektif bagi memastikan kebertanggungjawaban untuk mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

    Katanya, perbicaraan akan berlangsung dalam rangka prosiding keadilan jenayah Belanda berdasarkan undang-undang jenayah substantif dan prosedur.

    Sementara itu Tiong Lai berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mewakili Malaysia pada prosiding perbicaraan itu nanti.

    "Malaysia juga yakin undang-undang Belanda mampu bawa keadilan kepada waris dan ahli keluarga mangsa.

    "Siasatan terhadap jenayah ini juga sedang berjalan dan dijangka selesai awal tahun hadapan yang mana ketika ini skop siasatan sudah dikecilkan kepada 100 suspek.

    "Harapan kita dalam tempoh ini beberapa suspek terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan untuk proses pendakwaan," katanya.- BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Jumpa Waris Mangsa MH17 Khamis Depan "