• Kegiatan Peras Ugut Biayai Double Seven

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kumpulan kongsi gelap Double Seven (77) dipercayai terbabit menjalankan aktiviti yang mempunyai unsur jenayah berbahaya di negara ini.

    Antara aktiviti 'bawah tanah' yang dilakukan mereka adalah melakukan ugutan bagi mendapatkan wang serta menawarkan perlindungan untuk bidang perniagaan tertentu dari diganggu pihak ketiga atau yang berkuasa di sesebuah kawasan.

    Sumber berkata, Double Seven dan beberapa kumpulan kongsi gelap lain turut terbabit dalam aktiviti mengawal tempat letak kereta di kawasan awam, terutamanya tempat tumpuan ramai seperti kelab malam, dengan mengenakan bayaran tinggi.

    "Bagi mengaburi aktiviti haram mereka, kumpulan ini turut menjalankan aktiviti seperti menjual aksesori dan pakaian, kopi, minyak hitam serta beberapa khidmat lain yang diiklankan dalam laman sosial.

    "Mereka akan membincangkan sesuatu perancangan perniagaan dalam mesyuarat dan perjumpaan tertentu yang diadakan secara tertutup di seluruh negara," katanya kepada BH, petang tadi.

    Sumber itu berkata, Double Seven mempunyai pemimpin atau ketua di setiap kawasan seperti bandar dan daerah yang digelar Ayahanda dan Abang Long dan mempunyai jumlah pengikut tertentu serta dilantik melalui sumpah baiah.

    Dalam laporan BH semalam, seorang lelaki berpangkat Datuk dipercayai menjadi ketua Double Seven, ditahan dalam serbuan di Seremban, Negeri Sembilan, Selasa lalu, mengikut Akta Pertubuhan 1966.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pagi tadi turut menyatakan bahawa penangkapan lelaki terbabit adalah sebahagian daripada tindakan tegas di seluruh negara dalam membanteras kumpulan kongsi gelap di bawah Op Cantas Khas.

    "Operasi khas ini sedang berjalan seperti yang kita sasarkan iaitu membanteras kumpulan geng bawah tanpa mengira kaum atau gabungan dan kami melakukannya tanpa rasa takut," katanya di Bukit Aman, pagi tadi.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Judi (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata sejak Januari hingga kelmarin, pihaknya sudah menahan 770 orang dalam Op Cantas.

    "Hasil siasatan susulan yang dijalankan ke atas kesemua mereka, 92 sudah dituduh di mahkamah manakala 111 individu ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

    "Selain itu, 60 individu yang diberkas sepanjang tahun ini dikategorikan sangat berbahaya serta mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk empat orang bergelar Datuk dan Datuk Seri," katanya.

    Rohaimi berkata pihaknya sudah mengenal pasti ahli kumpulan ini melalui maklumat dan perisikan yang dilakukan, termasuk segelintir dari mereka yang sudah melarikan diri ke luar negara.

    Katanya, setiap kumpulan kongsi gelap turut cenderung melakukan pembunuhan, pemerasan, penculikan, rompakan bersenjata dan pengedaran dadah terutama di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.

    "Oleh itu, pihak polis sudah mengarahkan kawalan ketat dibuat oleh semua kakitangan yang menjaga pintu masuk dan keluar negara serta lintasan sempadan untuk menahan saki-baki ahli kongsi gelap ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kegiatan Peras Ugut Biayai Double Seven "